Modul Biro Tatanegara (BTN) patut dikekalkan dan tidak dirombak kerana ia sudah cukup baik dalam memupuk semangat kenegaraan di kalangan rakyat, kata Tun Dr Mahathir Mohamad. Bekas perdana menteri itu berpendapat kurikulum BTN dapat memupuk semangat perpaduan kerana kursus anjuran agensi itu turut dihadiri rakyat Malaysia yang berbilang kaum."Saya tidak nampak apa sebab dirombak... saya ingat kekal (modul BTN)," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Aids Sedunia 2009 di Kuala Lumpur hari ini. Baru-baru ini Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata kurikulum BTN akan dirombak bagi mencerminkan gagasan 1Malaysia yang diperkenalkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Isu kursus anjuran BTN mendapat perhatian ramai apabila kerajaan Selangor baru-baru ini melarang kakitangan awam dan penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) milik negeri mengikuti kursus berkenaan berkuatkuasa serta-merta kerana didakwa sebagai proses indoktrinasi oleh BN hingga mencetuskan fenomena perkauman, memecahbelahkan penduduk pelbagai kaum, agama dan menimbulkan kebencian kepada pembangkang.
Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata, tidak ada apa-apa yang tidak betul mengenai kursus BTN kerana kurikulumnya cukup baik untuk memberi kesedaran tentang pentingnya kehidupan bernegara. Malah katanya beliau juga pernah memberikan syarahan pada kursus anjuran BTN dan antara perkara yang diterangkan ialah mengenai sejarah Malaysia."Kadang-kadang ramai orang tidak faham nilai yang dapat menerusi kursus BTN. Saya tidak nampak BTN buruk selain dapat diterangkan tentang sejarah negara," katanya. Sementara itu ketika mengulas saranan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya pemerhati bebas dari Australia dilibatkan bagi memantau perjalanan pilihan raya umum ke-13, Dr Mahathir dengan sinis berkata:
"Kalau orang putih dia percaya, kalau orang Melayu dia tak percaya." Mengenai langkah kerajaan merancang memperkenalkan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) pula, Dr Mahathir berkata, perlu ada kajian mendalam mengenai perkara itu supaya tidak membebankan rakyat. Sebelum ini, perdana menteri menjelaskan bahawa pengenalan GST di Malaysia adalah satu bentuk keperluan jangka panjang memandangkan pergantungan negara kepada sektor petroleum sebagai penyumbang utama pendapatan perlu diganti dari sekarang.
sumber: malaysiakini
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.