Yang dikejar tidak dapat, yang dikendong tidak pula berciciran - akhirnya adik perdana menteri yang dikaitkan dengan penarikan akuan bersumpah penyiasat persendirian P Balasubramaniam, ditemui tanpa diduga hari ini setelah dua minggu berusaha menjejakinya.
Berkat iltizam untuk mengesahkan dakwaan serius bekas anggota polis Cawangan Khas itu, Malaysiakini terserempak Datuk Mohamed Nazim Razak di Masjid Negara selepas solat Jumaat tadi."Tidak ada apa-apa yang saya hendak cakap," katanya sewaktu ditemui selepas melangkah dari pusara bapanya Tun Razak Hussein, di pinggir masjid itu, untuk beredar. Balasubramaniam mendakwa beliau bertemu dengan Mohamed Nazim, bersama isterinya yang sedang sarat hamil, pada malam sebelum menafikan akuan pertamanya bahawa Datuk Seri Najib Razak, waktu itu timbalan perdana menteri, mempunyai hubungan seks dengan Altantuya Shaariibuu.
Pertemuan itu didakwa berlaku di kompleks membeli-belah The Curve, Damansara - yang diatur oleh seorang ahli perniagaan permaidani Deepak Jaikishan - selepas Balasubramaniam mendedahkan akuan awalnya di ibu pejabat PKR, 3 Julai tahun lalu. Dalam wawancara yang diterbitkan di internet, Mohamed Nazim didakwa mengugut Balasubramaniam tentang keselamatan anggota-anggota keluarganya. Usaha menjejak Mohamed Nazim bermula sewaktu kehangatan isu tersebut diperkatakan di Internet, khususnya melalui soal jawab wawancara Balasubramaniam di Malaysia Today dan rakaman videonya di Youtube. Berdasarkan maklumat umum di Google, pejabat Mohamed Nazim berjaya dikesan di Bangunan AMDB, berhampiran sebuah hotel terkenal di Jalan Pahang, Kuala Lumpur. Pejabat tersebut dikunjungi pada 26 November, selepas cubaan untuk menghubungi Mohamed Nazim melalui telefon di pejabatnya tidak berjaya beberapa hari sebelumnya. Pada kira-kira jam 11 pagi, Malaysiakini singgah di pejabat urusan firma arkitek dan disambut oleh seorang setiausahanya, kelihatan hujung 20-an, yang berjaya dihubungi sebelumnya. Setiausaha tersebut, yang hanya ingin dikenali sebagai Jeannie, berkata anak keempat Razak itu bagaimanapun tidak berada di pejabatnya di tingkat 15 bangunan tersebut. Gadis itu kemudian meminta soalan-soalan dikemukakan kepadanya untuk disampaikan kepada ketuanya. Soalan-soalan tersebut dihantar melalui e-mel telefon bimbit dan wartawan kemudiannya menunggu di ruang menyambut tetamu firma arkitek tersebut hampir setengah jam sebelum ditemui oleh seorang pengurus pejabat.
Wanita tersebut menerangkan, Mohamed Nazim berada di luar negara setelah dijelaskan hasrat untuk menemuramah adik perdana menteri. Permintaan untuk mendapatkan nombor telefon bimbit Mohamed Nazim juga tidak dipenuhi, kerana menurutnya, maklumat itu milik peribadi dan tidak harus diberikan tanpa kebenaran. Cubaan beberapa kali untuk menetapkan temujanji dengan Mohamed Nazim melalui kakitangan pejabatnya sepanjang minggu lalu juga menemui jalan buntu, namun setiausahanya itu berkata Mohamed Nazim akan kembali ke tanah air minggu ini. Selain Mohamed Nazim, Malaysiakini semalam turut menjejaki Deepak di pejabatnya di Jalan Chan Sow Lin 6 dan juga di kedai permaidaninya di Jalan Tuanku Abdul Rahman.
sumber: malaysiakini
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.