Followers

Monday, November 30, 2009

MB Selangor Nafi Kerajaan Negeri Tahu Dokumen Dibocorkan !

Kerajaan Selangor menafikan bertanggungjawab membocorkan dokumen mengenai tregedi tanah runtuh di Bukit Antarabangsa dalam internet semalam. Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, beliau tidak tahu yang dokumen sulit itu kini tersiar di internet."Ia tidak sepatutnya berlaku," katanya."Selain itu, dokumen itu tidak lagi ada dengan kita kerana kita telah memulangkannya kepada MAPJ (Majlis Perbandaran Ampang Jaya)," katanya ketika ditemui di majlis makan malam ulangtahun ke-10 Malaysiakini malam tadi. Mengulas mengenai cop rasmi seorang exco kerajaan Selangor pada dokumen yang bocor itu, Abdul Khalid berkata, kerajaan negeri akan menyiasat perkara itu."Kita tidak pernah mengedarkan dokumen tersebut... dan mengenai cop tersebut, kita akan menyiasat sama ada benar-benar (datang dari kita)."Bagaimanapun, saya tidak fikir ia datang dari (kerajaan) negeri kerana kita masih menunggu kelulusan kerajaan pusat (untuk mendeklasifikasi) dokumen tersebut," katanya.
Menteri besar juga menyuarakan kekecewaannya berhubung proses mendapatkan kelulusan tersebut, sambil menambah setakat ini kerajaan negeri telah menghantar empat pucuk surat kepada jabatan kerjaraya (JKR) dan kabinet. "MPAJ baru-baru ini telah menghantar sepucuk lagi surat kepada JKR. Kemudian ia (JKR) kata kami sebaliknya perlu hantar surat itu kepada kabinet."Dan MPAJ kemudiannya meminta surat lain dari kita untuk dihantar kepada JKR sekali lagi, dan kami masih menunggu jawapannya," kata Abdul Khalid.
Dokumen dibuang? Semalam, dokumen yang diklasifikasikan di bawah Akta Rahsia Rasmi, telah disiarkan dalam satu lamanweb Rapidshare. Dokumen setebal 86 muka surat itu, yang merupakan salinan fotostat, mempunyai cop rasmi seorang exco kerajaan Selangor. Setiap halaman tertera cop 'rahsia' dan mengandungi peta terperinci kawasan yang terbabit. Bagaimanapun, semakan Malaysiakini pagi ini mendapati fail tersebut sama ada telah dipadam atau dibuang dari lamanweb tersebut. Dokumen tersebut menunjukkan sebuah jawatankuasa khas, cawangan kejuruteraan cerun JKR ditubuhkan untuk menjalankan siasatan tanah runtuh di situ. Sejumlah 21 saksi telah dipanggil memberi keterangan dengan jurutera-jurutera cerun tersebut untuk mendapatkan maklumat mengenai sejarah kawasan tersebut serta apa yang berlaku yang mengakibatkan berlaku tanah runtuh di situ. Intipati laporan tersebut ialah mengenai punca kejadian tanah runtuh itu ialah kebocoran air dari paip di sepanjang rumah yang tidak dihuni, mengakibatkan berlaku tekanan air yang tinggi dalam curun dan meningkatkan kelembapan tanah, dan sekaligus menjadikan cerun itu menjadi tidak stabil. Pada 18 November lalu, Abdul Khalid mengumumkan yang beliau akan menggunakan kuasanya di bawah Seksyen 2(c) OSA untuk mengumumkan laporan tersebut kepada umum. Khalid juga membaca ringkasan dan hasil utama siasatan yang mengakibatkan tragedi tanah runtuh berlaku di Taman Bukit Mewah, Bukit Antarabangsa pada jam 3.30 pagi 6 Disember 2008 yang mengorbankan lima nyawa dan memusnahkan 14 buah rumah. Laporan penuhnya bagaimanapun tidak jadi diumumkan selepas kerajaan pusat mendakwa menteri besar Selangor telah melanggar OSA, yang membawa hukuman setahun penjara mandotari.
sumber: malaysiakini

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.