Kes saman Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, terhadap bekas pembantunya, Saiful Bukhari Azlan, atas dakwaan berniat jahat kerana membuat laporan polis bahawa dirinya diliwat Anwar, ditetapkan pada 28 Januari untuk pengurusan kes.
Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Anisah Normah Muhammad Nor, menetapkan tarikh itu dalam kamarnya selepas kes itu disebut di hadapannya hari ini. Pada 30 Jun tahun lalu, Anwar yang juga Penasihat PKR menfailkan saman terhadap Saiful mendakwanya membuat laporan polis itu untuk satu sebab tersembunyi, di samping memburukkan dirinya dan merosakkan dirinya sebagai ahli politik. Anwar, 62, dalam pernyataan tuntutannya mendakwa Saiful, 24, tahu bahawa dakwaan liwat itu adalah palsu namun bekas pembantunya itu tetap membuat laporan polis itu pada 28 Jun tahun lalu. Anwar mendakwa akibat daripada laporan polis itu, reputasinya terjejas dan beliau mengalami penderitaan dan malu yang teramat sangat. Saiful dalam pernyataan pembelaan yang difailkan Mei lalu berkata laporan polis itu adalah bersifat justifikasi dan sekiranya laporan itu tidak benar, pihak pendakwaan tidak akan mendakwa Anwar terhadap tuduhan liwat itu. Pada 7 Ogos tahun lalu, Anwar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap tuduhan meliwat Mohd Saiful dan beliau dibebaskan dengan jaminan bon peribadi sebanyak RM20,000 tanpa penjamin sementara menunggu perbicaraan kes. Kes liwat itu ditetapkan untuk sebutan semula pada 23 November ini di Mahkamah Tinggi. Perbicaraan kes itu pada mulanya ditetapkan 1 Julai hingga 23 Julai lalu tetapi mahkamah menangguhkannya bagi membolehkan mahkamah mendengar beberapa permohonan yang difailkan Anwar berhubung kes itu
sumber: pahangdaily
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.