Tun Mahathir tidak akan berkempen di Bagan Pinang
KUALA LUMPUR: Mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad tidak akan berkempen untuk calon Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang.
“Beliau adalah calon parti, saya sokong. Pendapat peribadi saya tidak perlu diambil kira,” katanya apabila ditanya sama ada beliau kecewa dengan pencalonan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan Tan Sri Isa Abdul Samad sebagai calon BN. Semalam, Isa, 59, diumumkan sebagai calon BN bagi kerusi DUN Bagan Pinang. Apabila ditanya adakah ia akan menjejaskan peluang BN untuk memenangi pilihan raya kecil kali ini, katanya, “Saya rasa kita ada peluang baik. Kita akan menang.” Bagaimanapun, apabila ditanya tentang majoriti, beliau berkata: “Saya tidak tahu. Mungkin boleh. Saya agak.”
BN memenangi kerusi DUN Bagan Pinang dengan majoriti 2,333 pada pilihan raya lepas bagaimanapun ia kosong selepas kematian penyandangnya, Azman Mohammad Noor.
Pengumuman berhubung pencalonan Isa dibuat Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di bilik operasi BN di Port Dickson, Negeri Sembilan semalam.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan penamaan calon bagi pilihan raya kecil itu pada Sabtu ini dengan pengundian pada 11 Oktober. BERNAMA
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.