Krisis di Perak nampaknya semakin bercelaru dan berlarutan sehingga ke saat ini akibat daripada kedegilan pemimpin UMNO dan BN yang masih menafikan hak rakyat untuk memilih semula apabila diberikan satu laluan setelah pembubaran DUN di Perak. itulah langkah yang paling baik untuk menyelesaikan masalah namun UMNO dan BN tetap mempertahankan "barang curi" (negeri Perak) sebagai haknya, siapa akan percaya ? Saya suka untuk menjawab dakwaan Ganesan bahawa dia adalah speaker Perak yang sah , beliau mendakwa dilantik pada 7 Mei dengan sokongan suara majoriti dewan, melucutkan jawatan Sivakumar daripada jawatan Speaker dan mendakwa melantiknya sebagai pengganti. Inilah dakwaan bohong yang mesti dijawab dengan segera seperti berikut :-
1. Usul untuk melucutkan jawatan Speaker sebenarnya dikemukakan kepada Speaker yang ingin dilucutkan iaitu Sivakumar sendiri dan mengikut peruntukan yang terdapat dalam Peraturan Tetap, dia mempunyai kuasa mutlak untuk menolak apa-apa usul termasuklah usul berkenaan. Pada 6 Mei 2009 Sivakumar telah mengeluarkan notis bertulis menolak usul tersebut. Dengan itu segala usul yang berkaitan dengan usul memecat dan melantik Speaker yang baru adalah terbatal dan tiada dalam agenda, melainkan agenda jahat BN dan UMNO untuk mencapai hasrat jahatnya walaupun sekali lagi melakukan tindakan yang melanggar undang-undang. Berarti persidangan Dewan pada 7 Mei hanya titah perasmian oleh DYTM Raja Muda Perak dan setelah itu penangguhan dewan dan tidak ada agenda pelucutan dan pelantikan Speaker baru.
2. Kerana sudah sangat terdesak dengan arahan dan tindakan Speaker Sivakumar yang menghalau 10 orang ADUN yang telah digantung oleh Jawatan Kuasa Hak dan Kebebasan, dalam keadaan itu adalah prosedur biasa yang dijalankan oleh Speaker Sivakumar menyusun kedudukan dewan sebelum kembali ke Bilik Diraja mempersilakan DYTM Raja Muda Perak untuk merasmikan dewan. Di situlah kekecohan yang berlaku dan saya tegaskan bahawa sesungguhnya dewan belum lagi bermula, namun BN bertindak seperti "basuh dulu baru berak" dengan kononnya melucutkan jawatan Sivakumar dan melantik speaker haram Ganesan. Tindakan kebudak-budakan inilah yang sedangkan dipertahankan oleh Ganesan dan BN, dan hanya orang yang tidak cerdik sahaja yang akan percaya dengan dakwaan itu. Kemuncak daripada itu bila DUN Perak pada suatu masa mempunyai 2 Speaker, akhirnya Speaker yang sah diangkat keluar oleh "samseng" upahan yang dibawa dari luar bagi menjayakan niat jahat BN tersebut. 3. Kalaupun diandaikan perlucutan jawatan Sivakumar berlaku dan perlantikan Ganesan sah, manakah minit perjalanan yang dipanggil penyata rasmi yang boleh membuktikan Ganesan telah dilantik dengan sempurna termasuklah upacara mengangkat sumpah. Dengan ini saya mengesahkan bahawa Ganesan tidak melaksanakan upacara mengangkat sumpah yang sepatutnya seperti yang dinyatakan dalam Perkara 5.(1) Perintah-perintah Tetap DUN Perak iaitu :-
"Sumpah yang hendak dilafazkan mengikut seperti yang disebutkan dalam perenggan (1) Fasal xvii bahagian I. Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak hendaklah dijalankan oleh Setiausaha Dewan dan tiap-tiap kali yang mengangkat sumpah hendaklah menurunkan tandatangan dalam sebuah buku yang akan disimpan bagi tujuan itu oleh Setiausaha Dewan". Saya mengesahkan Setiausaha Dewan pada masa itu, Abdullah Antong Sabri tidak berada di tempat sidang haram melantik Speaker dan di hadapan siapakah lafaz sumpah itu dilafazkan? Melainkan BN akan berbohong mengatakan Abdullah Antong berada di situ semasa angkat sumpah diadakan. Demikianlah 3 alasan saya bahawa Ganesan adalah speaker haram yang sekarang ini menyamar sebagai speaker, dengan itu saya mendesak supaya beliau dengan segera berundur dan mengosongkan pejabat Speaker yang didudukinya kerana ianya adalah harta rakyat yang telah disalah guna.
YB DRS. KHALIL IDHAM LIM
Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan PR Perak/
ADUN Titi Serong/
Ketua Penerangan PAS Perak
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.