Followers

Monday, October 26, 2009

Dato Nik Aziz Tetap Mahu EGM PAS !

Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata beliau sedia menghadapi sebarang kemungkinan jika cadangannya supaya PAS mengadakan muktamar agung luar biasa boleh mencetuskan perpecahan di kalangan anggota partinya. Katanya beliau sedia berbuat sesuatu bagi menyelamatkan parti daripada terus menimbulkan tanda tanya berhubung cadangan beberapa pemimpin tertinggi parti berhubung isu kerajaan perpaduan sehingga menimbulkan kecelaruan dalam parti. katanya, beliau bosan dengan gelagat beberapa pemimpin yang membangkitkan isu kerajaan perpaduan yang disifatkan sesekali timbul dan sesekali tenggelam, lapor Bernama. "Ini untuk mengelakkan orang tertanya-tanya dan teraba-raba, dan tergantung tanpa diambil sesuatu tindakan. "Sedangkan kita (PAS) sebuah parti Islam, maka saya kena buat sesuatu untuk menentukan kedudukan pemimpin, termasuk presiden sendiri," katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya di Pulau Melaka, dekat Kota Bharu semalam.
Beliau mengesahkan mengemukakan pandangan itu dalam laman blognya kelmarin kerana kecewa dengan sikap beberapa pemimpin yang sering menimbulkan masalah dalam parti kerana membangkitkan isu kerajaan perpaduan sedangkan PAS sudah membuat keputusan muktamad tidak akan bekerjasama dengan Umno atas dasar politik. Ini kerana, katanya, ia telah diputuskan dalam muktamar agung parti itu tahun lepas. Ditanya sama ada muktamar luar biasa itu boleh menimbulkan perpecahan di kalangan anggota parti, menteri besar Kelantan menegaskan: "Nak pecah, pecah gi lah, apa boleh buat. Saya tak suka orang tegur presiden saya, kedudukan pemimpin (termasuk presiden atau pemimpin lain) bergantung kepada keputusan muktamar. Menurutnya cetusan cadangan supaya mengadakan muktamar biasa itu lahir daripada artikel penganalisis politik Dr Aziz Bari dan teguran rombongan daripada Sabah dan Sarawak yang mempersoalkan beberapa kerat pemimpin PAS yang condong kepada Umno berikutan usaha mewujudkan kerajaan perpaduan. "Saya sedih kerana ada pemimpin yang tidak menghormati keputusan muktamar agung itu, dan saya tidak suka orang tegur parti dan pemimpin saya, tanpa saya berbuat sesuatu, senyap," katanya Menurutnya, soal untuk mengadakan muktamar luar biasa atau apa
bentuk sekalipun ia terpulang kepada parti kerana baginya beliau sudah berpuas hati dapat menyuarakan perasaannya dalam menangani isu itu. Nik Aziz tetap mahu EGM Sementara itu, bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Masjid Noraini, Kampung Pasir Hor, dekat Kota Bharu hari ini, Nik Aziz berkata beliau tetap dengan keputusannya meminta pimpinan parti itu mengadakan muktamar agung khas tersebut. Katanya beliau tidak kisah walaupun ada negeri yang menolak cadangan itu, kerana apa yang penting hasrat untuk menyampaikan isi hatinya demi menyelamatkan parti, tercapai. "Saya tidak akan menarik balik cadangan itu kerana ia dibuat atas hasrat dan isi hati saya sendiri yang mahu menyelamatkan parti," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Masjid Noraini, Kampung Pasir Hor, dekat Kota Bharu hari ini. Turut hadir bekas Menteri Luar, Tengku Ahmad Rithaudden yang membiayai pembinaan masjid berharga RM500,000 di kampung itu. Menteri Besar Kelantan itu berkata demikian ketika ditanya mengenai cadangannya, supaya PAS mengadakan muktamar khas bagi menentukan kedudukan pemimpinnya, ditolak oleh sesetengah pemimpin PAS peringkat negeri atas alasan cadangan itu tidak perlu kerana tidak wujud pergolakan kepimpinan parti itu sama ada di peringkat pusat mahupun negeri ketika ini. Sambil menafikan bahawa cadangan itu dibuat kerana terpengaruh oleh individu tertentu dalam politik, Nik Abdul Aziz berkata beliau sudah matang dalam politik dan tidak perlu mengikut telunjuk mana-mana pihak.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.