Hadith Rasulullah SAW menyatakan, 'Sesiapa yang melihat yang diantara kamu kemungkaran maka ubahlah ia dengan tangannya, sekiranya dia tidak mampu maka dengan lidahnya, sekiranya dia tidak mampu maka dengan hatinya, dan itulah selemah-lemah Iman'. Dan hadith yang lain pula: 'Jihad yang paling afdal adalah kalimah yang benar di hadapan pemerintah yang zalim'.
Hadith-hadith di atas jelas menunjukkan bahawa perjuangan menentang kezaliman itu wujud pada bila-bila masa, pada setiap ketika, dalam aman mahupun perang, tanpa mengira umur. Hadith-hadith itu juga menerangkan bahawa sekiranya kita melihat kemungkaran maka kita harus melawannya, yang membezakannya hanyalah kadar penentangannya yang tersebut.
Saya disini mengandaikan bahawa para pejuang keselamatan negara yang bakal mengundi secara pos di Bagan Pinang, Negeri Sembilan ini tidak terkecuali daripada bersetuju bahawa mereka turut melihat pelbagai jenis kezaliman; sama ada yang mereka rasai sendiri, mahupun yang mereka lihat yang ditanggung rakyat yang lain.
Gaji asas golongan keselamatan adalah dibawah paras kemiskinan yang telah dikaji oleh pemimpin Pakatan Rakyat. Secara amnya, garis paras kemiskinan negara adalah separuh daripada jumlah pendapatan negara di Malaysia, iaitu RM1,500. Pakatan Rakyat telah berjanji melalui manifestonya pada 2008, bahawa Pakatan Rakyat jika menguasai Kerajaan Persekutuan, akan memastikan bahawa gaji minima bagi mana-mana majikan, kerajaan atau tidak, akan memberi gaji asas kepada para pekerjanya sebanyak RM1,500 sebulan.
Kita dapat lihat sendiri berapa ramaikah diantara kenalan kita, khasnya yang di dalam Pasukan Keselamatan, yang memperolehi gaji lebih rendah daripada itu.
Hakikatnya negara Malaysia ini negara yang kaya, malangnya kekayaan yang melimpah-ruah ini dijadikan sasaran golongan politik rakus seperti UMNO dan Barisan Nasional untuk memperkayakan suku-sakat mereka tanpa mempedulikan keadaan daif dan sengsara mereka yang menjaga keselamatan negara. Kita dapat lihat prasarana kediaman pihak Polis yang uzur, dan mereka setiap hari membanting tulang ditengah panas terik membantu dan mengawal keselamatan negara.
Bagi kami di Pakatan Rakyat, anda berhak untuk memperolehi dan merasakan kemewahan negara, bersama-sama rakyat yang lain. Anda berhak juga untuk merasakan walau sedikit, kekayaan golongan mega-kaya UMNO dan Barisan Nasional yang hari ini tidak ada seorang pun daripada pemimpin mereka yang miskin. Ini amat berbeza dengan golongan UMNO yang terdahulu, sehinggakan rakyat melihat kesengsaraan pemimpin mereka, dan rakyat itu jugalah yang membantu mengurangkan kedaifan pemimpin politik mereka ketika itu.
Sekiranya anda dahagakan perubahan hidup, sekiranya anda ingin menguji Pakatan Rakyat, maka berilah undi pos anda kepada Pakatan Rakyat di Bagan Pinang. Kami akui kemenangan PAS di sini tidak akan memenangkan Kerajaan Persekutuan kepada kami, tetapi ia boleh menjadi ISYARAT MAYDAY bahawa UMNO dan BN akan tumbang dalam Pilihanraya ke-13 yang akan datang.
Sekiranya Pakatan Rakyat tidak memberikan atau mengotakan janji gaji minima selepas Pilihanraya ke-13 nanti, anda masih lagi boleh mengundi semula BN yang selama 52 tahun selepas kemerdekaan masih lagi meletakkan pejuang keselamatan negara sebagai 'Rakyat Kelas ke-2'.
Marilah kita bersama-sama jadikan Bagan Pinang sebagai 'Perang Waterloo' bagi UMNO dan BN. Kemenangan PAS di sini akan menjadi titik-tolak kehancuran UMNO dan BN termasuk politik memperkayakan kroni dan famili. Airmata Napoleon Bonaparte akan menjadi airmata Najib Razak. Marilah kita bersama-sama menunjukkan protes kita terhadap layanan buruk BN dan UMNO terhadap pasukan Polis dan Tentera agar isyarat jelas dapat dinyatakan: KAMI BUKAN RAKYAT KELAS KEDUA! KAMI PEJUANG NEGARA!
MEMBUJUR LALU MELINTANG PATAH - TAQBIR
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.