Thursday, December 17, 2015

Harussani Akui Hadi Pernah Jumpa Bincang Penyatuan Dengan UMNO




Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria mengakui dijemput untuk berbincang dan mencari kerjasama terbaik yang boleh dilakukan UMNO dan PAS.

Jelas Harussani, antara pemimpin yang pernah berbincang berkenaan perkara tersebut termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Sekarang ini saya lihat, apa yang diucapkan Perdana Menteri (Najib Razak), Abdul Hadi kepada saya bahawa kedua-duanya menuju ke arah untuk bersatu.

"Walaupun mereka tidak mungkin bersatu dari segi parti, tapi bersatu dengan satu tujuan, bersatu dalam arah mencari perpaduan ummah. Mudah-mudahan ini akan berjaya.

"Saya juga telah diminta dulu oleh Dr Mahathir...minta saya supaya cari jalan, supaya dapat kita satukan (UMNO dan PAS).

"Alhamdulillah, saya telah temui orang-orang ini dan semuanya telah setuju untuk dapat kita bersatu padu," kata Harussani selepas menyampaikan ucapan selaku panelis Multaqa Serantau Alumni Al-Azhar Malaysia 2015 di sini hari ini.

Malah, Harussani berpandangan jika parti-parti politik yang memperjuangkan Melayu dan Islam berpecah, maka ketuanan Melayu dan Islam akan kecundang pada pilihan raya akan datang.

"Kita ada dalam dua tahun sahaja lagi, kalau kita berpecah, kita akan kecundang. Kalau kita bersatu balik, InsyaAllah kita dapat mempertahankan ketuanan orang Melayu di Malaysia ini.

"...kerana di situ juga duduknya kekuatan Islam. Kalau kecundang Melayu, kecundanglah Islam di negara kita ini, jadi habislah perjuangan kita," katanya.

Justeru, beliau mahu semua pihak berfikiran waras, bukan tujuan berpolitik sahaja, sebaliknya untuk kepentingan negara.

Beliau yang mengakui wujud titik persamaan antara UMNO dan PAS bagaimanapun berpandangan kedua-dua parti itu tidak akan bergabung sebagai satu parti politik.

"Umpamanya, boleh berlaku kerjasama dalam perkara yang menjadi polisi...yang menjadi faedah, (jadi) kita sokong. Saya ambil contoh, kerajaan Barisan Nasional (BN)..kalau perkara ada kepentingan walaupun parti satu lagi tidak bersatu (sebagai sebuah parti politik), tapi menyokong.

"Jadi kekuatan kita masih ada. Kalau dia sebagai pembangkang terus membangkang, itu akan merosakkan," jelas Harussani.

Harussani juga berharap supaya pemimpin politik tidak bercakaran di mana kesan pertengkaran itu bakal memberi impak kepada rakyat.



No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.