KOTA KINABALU – Seorang kanak-kanak lelaki cedera parah selepas
kenderaan jenis pacuan empat roda yang dinaikinya dilanggar keretapi
penumpang di Kg Mandahan, kira-kira 23 kilometer dari pekan Papar, dekat
sini hari ini.
Sebuah keretapi penumpang yang terlibat dalam kemalangan dengan sebuah
kenderaan Toyota Hilux pacuan empat roda di Kampung Mandahan hari ini. –
Foto BERNAMA
Mangsa yang dikenali sebagai Alexander Askon@Mohd Firdaus Abdul Gaffar
berumur satu tahun itu cedera parah di bahagian kepala dan dihantar ke
Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu untuk rawatan.
Ketua Polis Daerah Papar DSP George Abdul Rakman berkata ketika kejadian
kenderaan berkenaan dalam perjalanan dari arah Kg Mandahan menuju ke
pantai Mandahan.
“Apabila sedang melintasi landasan keretapi, tiba-tiba (pemandu)
terkejut mendengar siren keretapi dari arah kanan dan pada masa yang
sama enjin kenderaan itu mati menyebabkan ia tidak sempat mengelak dan
dilanggar oleh keretapi itu. Kenderaan berkenaan berpusing sebelum
terbalik,” kata George dalam kenyataan di sini.
Bagaimanapun, kata George, pemandu kenderaan pacuan empat roda berkenaan cuma cedera ringan.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba Papar Penolong Penguasa Dunstan Peter
berkata ketika kejadian, keretapi berkenaan dalam perjalanan dari Papar
ke Beaufort.
Katanya pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu kira-kira 9.22
pagi sebelum menghantar empat anggota yang tiba di lokasi 22 minit
kemudian. – BERNAMA
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.