Sunday, December 6, 2009

Tunku sebagai pemimpin semua kaum — Norsuriaty Awang Hassim ...Akhirnya Tunku lari dari UMNO@BN Kerana Mahathir..!!!!


Apabila tercetus pergeseran antara kaum, kita akan teringat apa yang sudah diusahakan pemimpin terdahulu yang bersungguh-sungguh mahu rakyat pelbagai kaum duduk bersama. Kita tidak seharusnya lupa sejarah, jika tidak, kesilapan akan terus berulang.
Bapa Kemerdekaan Negara, Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj, selaku pemimpin yang mewakili kepentingan orang Melayu, tidak sesekali mengetepikan kaum lain. Jelas perpaduan rakyat berbilang kaum di negara ini didasari oleh Perlembagaan Tanah Melayu dan ia harus difahami semua rakyat Malaysia. Sifat saling faham-memahami amat penting dan ditekankan oleh Tunku agar rakyat dapat hidup dalam suasana muhibah dan harmoni. Malah, Tunku juga adalah pemimpin yang sukakan kedamaian. Oleh itu, kehadiran Tunku ke ‘Rundingan Baling 1955’ dengan wakil Parti Komunis Malaya memperlihatkan sifatnya yang cintakan kedamaian dan perpaduan. Meskipun gagal, Tunku dilihat tokoh pencinta kedamaian.
Ibarat kata pepatah Melayu ‘Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama’. Begitulah ungkapan yang paling bererti untuk mengenang jasa dan sumbangan negarawan ulung itu. Esok, 6 Disember, genaplah 19 tahun Tunku pulang ke rahmatullah. Namun, ingatan terhadap beliau tidak pernah luput, malah sentiasa segar dalam kotak fikiran rakyat Malaysia. Kemerdekaan bukanlah noktah akhir medan Tunku memberikan sumbangan. Sebagai pemimpin berwawasan dan mementingkan keamanan sejagat, Tunku menggagaskan penubuhan Malaysia yang terdiri dari Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Sabah dan Sarawak pada 1963. Meskipun banyak rintangan dan halangan terutama daripada sahabat negara jiran, pendekatan melalui rundingan dan diplomasi yang dipraktikkan Tunku berjaya menyelesaikan segala kemelut yang berlaku.
Sepanjang hayatnya, Tunku menunjukkan kehebatan sebagai pemimpin berwibawa dalam pelbagai bidang. Ketokohannya juga diakui Tun Abdul Razak Hussein dalam ucapan penghargaan dan terima kasih kepada Tunku di Dewan Rakyat pada Februari 1971. Tun Razak menyatakan bahawa Tunku muncul pada saat yang penting dalam sejarah perjuangan bangsa kita dan ini jelas terbukti warisan yang ditinggalkan Tunku dalam catatan sejarah negara. Jika ditelusuri sejarah perkembangan negara, Tunku adalah seorang pejuang berjiwa kental dan mempunyai semangat jati diri tinggi untuk membebaskan negara daripada cengkaman penjajah. Pembabitan menentang Malayan Union, mengemudi kepemimpinan Umno melalui perubahan slogan daripada ‘Hidup Melayu’ kepada ‘Merdeka’, mengatur strategi pakatan antara kaum dengan kerjasama pihak Majlis Raja-Raja Melayu, membuktikan kepemimpinan Tunku sehingga berjaya mencapai kemerdekaan secara aman melalui meja rundingan. Liku, cabaran, perit jerih terbayar dek nikmat kemerdekaan yang diwarisi sehingga kini dan kita sebagai rakyat Malaysia perlu rasa terhutang budi kepada Tunku - Bapa Kemerdekaan. Selepas merdeka, Tunku yang mengetuai Kabinet membentuk strategi pembangunan jangka panjang dengan melaksanakan rancangan pembangunan negara bagi tempoh setiap lima tahun bermula dengan Rancangan Malaya Pertama pada 1956 & 1960. Rancangan pada peringkat awal lebih menjurus kepada pemulihan dan pembangunan untuk membina kemajuan negara. Rancangan pembangunan ini meliputi semua lapisan masyarakat berbilang kaum di bandar dan luar bandar.
Ketokohan Tunku di arena antarabangsa turut dikagumi apabila beliau menubuhkan Pertubuhan Asia Tenggara (Asa) pada 1961 yang kemudiannya berkembang dan dikenali sebagai Asean pada 1967. Kehebatan Bapa Malaysia ini memang tidak dapat disangkal lagi dan menjulang nama negara di persada antarabangsa. Tunku juga banyak memberi sumbangan kepada perkembangan agama Islam di dalam dan luar negara. Beliau mengasaskan pertandingan membaca al-Quran peringkat kebangsaan pada 1960 dan peringkat antarabangsa pada 1961 yang menjadi tradisi sehingga kini. Tunku juga dilantik sebagai Presiden Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) pada 1960 sehingga peranannya dihormati semua negara Islam. Kredibiliti Tunku mendapat kepercayaan Al Malik Faisal yang menawarkan jawatan Setiausaha Agung Sekretariat Negara-Negara Islam yang pertama pada 1970 di Jeddah. Beliau turut memainkan peranan besar dalam penubuhan Bank Pembangunan Dunia Islam pada 1974, bertujuan membantu negara Islam yang miskin. Pembabitan Tunku dalam dunia Islam amat bermakna dan disanjung tinggi dalam menyatu dan meningkatkan kualiti umat Islam sejagat. Kita juga perlu berbangga kerana kegigihan Tunku, beliau dilantik sebagai Presiden pertama Majlis Dakwah Islamiah Serantau Asia Tenggara dan Pasifik (Riseap) pada 1980.
Tunku, putera raja yang berjiwa rakyat ini adalah seorang pejuang kemanusiaan. Beliau adalah antara pemimpin negara yang menyahut permintaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) agar Malaysia menghantar misi pendamai dan keamanan di Congo yang dilanda perang saudara pada 1961. Tunku yang amat mementingkan kebajikan manusia, memberikan keizinan kepada Perkim Kedah menggunakan tanah kepunyaannya seluas 0.8 hektar di kawasan Perbandaran Kota Setar, Lorong Seri, Derga, Alor Setar untuk dibina rumah anak yatim dan orang tua yang miskin. Begitulah pengorbanan ikhlas Tunku dalam usaha menjaga kebajikan sesama manusia. Ketokohan Tunku bukan hanya terserlah dalam bidang pentadbiran, malah turut tersohor dalam bidang penulisan. Selepas bersara sebagai ahli politik, beliau aktif menulis rencana dalam akhbar The Star dalam ruangan Looking Back dan As I See It. Selain itu, Tunku juga seorang yang berbakat dalam seni dan budaya. Filem Raja Bersiong adalah hasil karya Tunku di samping filem Mahsuri dan Sumpahan Mahsuri. Dalam bidang sukan, Tunku amat meminati sukan bola sepak. Tidak hairanlah minat ini mendorong Tunku untuk mengasaskan Pesta Bola Merdeka pada 31Ogos 1957. Justeru, sempena 19 tahun pemergian Tunku, Arkib Negara Malaysia sekali lagi mengadakan majlis tahlil khusus untuk mendoakan kesejahteraan Almarhum dan memperingati jasa serta sumbangannya. Sesungguhnya, negarawan ulung ini sudah membina, mencorak dan membuka langkah untuk Malaysia menjadi sebuah negara yang berjaya bukan hanya dari segi pembangunan, malah kualiti rakyatnya. Perpaduan adalah kunci kejayaan rakyat berbilang bangsa yang mewarnai Malaysia. Ia perlu terus disemai di bawah aspirasi 1Malaysia bagi memastikan kesinambungan warisan tinggalan Tunku dapat ditatap dan dinikmati generasi akan datang. Bagi mengenali Tunku dengan lebih dekat dan untuk mengimbau kenangan jasa serta sumbangan beliau kepada negara, rakyat Malaysia digalakkan untuk melawat Memorial Tunku Abdul Rahman Putra, yang terletak di Jalan Dato Onn, Kuala Lumpur. Memorial ini dibuka percuma setiap hari kecuali hari Isnin. — Berita Harian

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.