Lawatan rasmi Najib Razak ke Arab Saudi sambil menunaikan umrah bermula
Sabtu lalu hingga semalam bersama dua Naib Presiden UMNO, Ahmad Zahid
Hamidi dan Hishammuddin Hussein, menimbulkan spekulasi yang makin meluas
bahawa ia akan disusuli dengan rombakan kabinet selepas ini.
Baik dalam suasana aman, apatah lagi ketika gelora politik makin membara
berikutan kritikan berterusan daripada bekas Perdana Menteri, Tun
Mahathir Mohamad ketika ini, hakikatnya amat janggal bagi Perdana
Menteri membawa dua orang Naib Presiden UMNO sekaligus untuk
mengiringinya bagi menunaikan umrah, kecuali ada permuafakatan yang
perlu disepakati di tanah suci itu.
Lantaran itu menjadi
perbualan ramai bahawa pemergian mereka ini ada kaitan dengan suasana
politik yang sedang melanda negara. Apatah lagi, pemergian itu ketika
tragedi gemba bumi Sabah sedang berlaku dan seolah-olah membawa
kedua-dua Naib Presiden UMNO lebih penting daripada segala-galanya.
Seorang lagi Naib Presiden UMNO, Shafie Apdal yang diketahui agak
berbeza pendirian dengan Najib sejak kebelakangan ini, terutama
berhubung isu 1MDB, tidak ikut serta atau barangkali juga tidak dipelawa
untuk berumrah bersama-sama ini.
Beliau difahamkan kini berada di Russia atas urusan rasmi kementeriannya.
Dengan Najib membawa kedua-dua Naib Presiden itu ke Mekah, cakap-cakap
paling sensasi menjadi bualan ialah kemungkinan Muhyiddin Yassin akan
digugurkan sebagai Timbalan Perdana Menteri kerana kedudukannya dalam
kabinet lebih dianggap sebagai ancaman serta "duri dalam daging" kepada
masa depan Perdana Menteri.
Najib dikatakan sudah tidak dapat
menahan sabar lagi dengan karenah dan tingkah laku Muhyiddin yang tidak
cukup setia dan kurang konsisten dengannya, terutama sejak isu 1MDB
meletus.
Melalui penyingkiran Muhyiddin daripada jawatan nombor
dua dalam kerajaan itu, Najib bukan saja ingin membuktikan sikap ingin
terus melawannya terhadap serangan Tun Mahathir, bahkan mahu menunjukkan
beliau benar-benar pahlawan Bugis yang masih ada sisa-sisa
keberaniannya.
Tempat Muhyiddin sebagai Timbalan Perdana Menteri
dikatakan akan diambil alih oleh Zahid Hamidi manakala Hishammuddin yang
merupakan sepupu Najib akan dikanankan lagi kedudukannya dengan
diberikan portfolio Kementerian Kewangan untuk persediaan sebagai calon
Perdana Menteri masa depan.
Shafie Apdal pula akan dipindahkan di
kementerian lain yang kurang penting bagi mengekang pengaruh serta
pergerakannya daripada terus memberi kesan negatif kepada Najib.
Sebuah agensi kerajaan yang berkaitan dengan perang saraf dikatakan
telah menemui Najib beberapa minggu lalu dan mengemukakan cadangan yang
antaranya ialah penyingkiran Muhyiddin daripada kerajaan dengan alasan
"masa bertahan sudah berakhir" jika Perdana Menteri ingin terus kekal
memimpin parti dan negara.
Agensi itu juga mahukan Najib
memulakan fasa "menembak" dan "menyerang" pula selepas sekian lama
mengambil pendekatan berdiam diri dan bertahan.
Selain itu,
beberapa menteri juga difahamkan bakal digugurkan dalam rombakan yang
akan dilakukan ini kerana Najib kini mula menyedari sebahagian daripada
mereka hanya "bermain selamat" dan tidak membantunya menghadapi
serangan, baik daripada Tun Mahathir atau pembangkang.
Antara
pemimpin yang disebut-sebut bakal dimasukkan kembali ke dalam kabinet
ialah Shahrir Samad, Pengerusi BNBBC yang sejak kebelakangan ini paling
lantang mempertahankan Najib daripada serangan Tun Mahathir.
Najib dikatakan amat berpuas hati dengan cara, pendekatan dan hujah Ahli
Parlimen Johor Bahru itu ketika membalas serangan yang dilakukan oleh
bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad.
Nama lain yang turut
disebut bakal dibawa kembali ke dalam kabinet sejak dua tiga hari ini
ialah Annuar Musa, Ahli Parlimen Ketereh kerana Najib ingin memanfaatkan
keberanian dan kepetahan bekas menteri itu sebagai perisai barunya.
Dalam menghadapi serangan dan kritikan Tun Mahathir yang dijangka lebih
panas selepas ini, Najib dikatakan tiada pilihan lain selain melantik
Timbalan Perdana Menteri baru, menyusun semula kabinetnya dan meletakkan
pemimpin senior yang berani seperti Shahrir Samad dan Annuar Musa untuk
membentengi kedudukannya.
Bersekali dengan rombakan kabinet yang
bukan saja menyaksikan penyingkiran Muhyiddin dan digantikan dengan
Zahid Hamidi tetapi juga disertai dengan kemasukan semula Shahrir dan
Annuar itu, sekaligus menunjukkan pahlawan Bugis sudah sedia berentap
sehingga "bumi berkeping dua" sebagaimana madah yang selalu diucapkannya
sebelum ini.
- http://shahbudindotcom.blogspot.com/
Artikel Penuh: http://bm.malaysia-chronicle.com.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.