Wednesday, December 23, 2015

SKMM gagal bertindak provokasi palsu Perkasa bakar gereja - FMT Reporters


Irwan-Fahmi-Idris | December 23, 2015 
 
Menjelang hari Natal, mereka cuba buat provokasi lagi dan laporan polis tahun lepas masih tiada tindakan diambil, tiada tindakan susulan daripada SKMM.

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) mempersoal kegagalan pihak polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia ( SKMM) mengambil tindakan terhadap pihak yang menyebarkan berita palsu kononnya NGO itu bertindak membakar gereja setahun lalu.

Ketua Wira Perkasa, Irwan Fahmi Idris berkata, pihaknya kesal apabila tiada tindakan yang diambil terhadap laporan yang dibuat Disember tahun lalu sehingga pihak yang sama sekali lagi melakukan provokasi dengan memuat naik gambar tersebut di laman sosial Facebook.

“Menjelang hari Natal, mereka cuba buat provokasi lagi dan laporan polis tahun lepas masih tiada tindakan diambil, tiada tindakan susulan daripada SKMM.

“Saya meminta SKMM ambil perhatian serius kerana ia bukan sahaja bersifat penipuan tetapi juga hendak menjatuhkan Perkasa,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis kali kedua di IPD Dang Wangi pada Selasa berhubung isu sama.

Beliau juga mempersoal status laporan Perkasa yang tidak diendahkan.

“Kita pun tak tahu apa status laporan Perkasa tahun lepas. Kita dah tanya kenapa tiada tindakan susulan, adakah sebab Perkasa tiada VIP di dalamnya.

“SKMM dan polis tolong siasat dan ambil kenakan hukuman setimpal. Jangan sebab tiada orang berkepentingan dalam perkara ini tiada tindakan dibuat.

Perkasa pada Disember 2014 membuat satu laporan polis berikutan dakwaan pihaknya akan membakar sebuah gereja di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur selepas berita berkenaan disebarkan melalui Facebook.

Pemilik akaun itu yang menggunakan nama ‘Ayahnda Raja Provokasi’ mendakwa insiden itu melibatkan PERKASA selain turut memuat naik sekeping gambar.


FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.