SHAH ALAM – Agak sukar bagi Parti Amanah Negara (Amanah) adalah untuk menyertai kerjasama Pas dan Umno kerana Amanah parti yang terikat dengan DAP dan hanya akan mendengar pandangan daripada DAP.
Timbalan Ketua Pemuda Pas, Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, sekiranya Pas dan Amanah perlu bekerjasama, pihaknya akan meneliti tujuan kerjasama tersebut terlebih dahulu sebelum membuat keputusan.
“Amanah ini terikat dengan DAP. Mereka hanya akan dengar cakap DAP sahaja. Jika DAP mahu mereka senyap, mereka akan senyap. Kalau DAP mahu mereka buat bising, jadi bisinglah mereka.
“(Kalau) Nak kerjasama, kita akan teliti terlebih dahulu bentuk kerjasama itu. Kalau ia dibuat demi kebaikan dan kepentingan rakyat, Pas tak ada masalah,” katanya ketika dihubungi Sinar Online.
Sebelum ini, penganalisis politik, Prof Madya Dr Fuad Othman berpendapat, kerjasama antara Pas dan Umno bukan sahaja dihulurkan kepada Pas, malah sepatutnya turut disuakan kepada Amanah dan juga PKR.
Ia perlu dilakukan demi kepentingan orang Melayu dan umat Islam di negara ini.
Mengulas lanjut, kata Muhammad Khalil, sebagai parti politik, Pas bersikap terbuka untuk menerima sesiapa sahaja atau mana-mana parti untuk bekerjasama demi kepentingan rakyat.
“Kami sentiasa menerima apa sahaja cadangan yang dibuat demi kepentingan negara, rakyat dan agama.
“Oleh kerana itu, bila adanya pelawaan daripada Umno untuk bekerjasama dengan Pas, kami mengambil sikap positif dan kami melihat apakah bentuk kerjasama tersebut. Kalau bentuk kerjasama itu dibuat demi membantu Kelantan dan agama, kita bersedia,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.