Tuesday, September 22, 2015

UMNO dan PAS Bersatu....Najib Berundur... suarakami


Bekas menteri penerangan Tan Sri Zainuddin Maidin menggesa Datuk Seri Najib Razak agar menyatukan Umno dan PAS dan kemudian menyerahkan kepimpinan parti kepada timbalan presidennya jika beliau mahu "dimaafkan" orang-orang Melayu.

Zainuddin yang mesra dikenali sebagai Zam itu percaya, langkah itu akan membersihkan nama perdana menteri yang terpalit dengan pelbagai kesilapan besar dan Tan Sri Muhyiddin Yassin lebih sesuai menerajui parti kerana latar belakang agamanya.

"Sekiranya Najib berjaya menyatukan Umno dan PAS maka saya yakin orang Melayu akan memaafkan kesilapan-kesilapan besarnya.

"Tetapi beliau wajarlah meninggalkan kerajaan setelah selesaikan tugas suci dan besar ini dan menyerahkan kepada timbalannya Muhyiddin yang mempunyai pengalaman dan asas pendidikan agama yang kuat bagi memudahkan jalinan kerjasama yang mantap dengan PAS.

"Orang Melayu pasti akan mengenangkan jasanya dalam meninggalkan perpaduan Melayu yang bersejarah yang tidak tercapai oleh pemimpin-pemimpin terdahulu," tulisnya di blognya hari ini.

Menurut Zam, idea sama pernah diutarakan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, namun ia tidak menjadi kenyataan.

"Saya dan beberapa orang lagi rakan wartawan bertanya kepada Dr Mahathir tentang apakah yang akan terjadi jika kerjasama PBS (Parti Bersatu Sabah) dengan Semangat 46 di saat terakhir menjelang pilihanraya 1990 berjaya mengalahkan kerajaan BN, Dr Mahathir berkata, kita akan bekerjasama dengan PAS.

"Kita bertanya lagi, bagaimana sekiranya mereka tidak mahu? 'Kita yang akan meminta untuk menyertai PAS,' kata Mahathir," kata Zam lagi dalam tulisan bertajuk "Janganlah kerana seekor nyamuk denggi maka kelambu dibakar".

Dalam tulisan yang sama, Zam turut menyampaikan pandangannya tentang cara orang Melayu menangani "cabaran politik orang Cina".

"Ini kerana pimpinan Melayu yang diketuai Najib meruntuhkan tiang kekuatan dan keselamatan negara dan menjalankan kepimpinan dengan flip-flop (bolak balik) yang menghilangkan keyakinan rakyat, terutama orang Melayu.

"Adalah suatu fahaman pimpinan Melayu yang tersesat apabila mempercayai orang Cina dapat menyesuaikan diri dengan persekitaran kuasa Melayu di bawah demokrasi penuh yang dinafikan sendiri Lee Kuan Yew kepada orang Cina di Singapura," tulisnya.

Zam yang juga bekas ketua pengarang Utusan Malaysia kerap mengutarakan pandangannya berhubung perkembangan politik semasa.
Beliau dikenali umum mempunyai banyak pandangan selari dengan Dr Mahathir, bekas perdana menteri ketika Zam menganggotai jemaah menteri.



ADDIN.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.