Monday, April 20, 2015

Ada pemimpin berbakti dengan mengambil jawatan, ada yang boleh berbakti dengan meletakkan jawatan.



Serangan terakhir Dr Mahathir terhadap Najib amat berat implikasinya. Dr Mahathir telah meminta UMNO menyingkirkan Najib untuk menyelamatkan UMNO dari mengalami kekalahan dalam pilihanraya yang akan datang. Najib telah membawa UMNO kepada tahap yang paling mengaibkan kerana sebagai pemimpin beliau tidak dapat memberikan jawapan terhadap isu yang besar yang melibatkan masa depan rakyat yang sedang hangat dipersoalkan.

Bagi saya pandangan Dr Mahathir itu sangat relevan sebab jika kita mendengar rungutan ramai di bawah ini terhadap Najib dan kumpulannya, kita akan merasakan dengan sebenarnya betapa seriusnya kesalahan Najib terhadap Negara dan rakyat.

Dr Mahathir sudah sampai kehilangan sabarnya kerana melihat betapa bahayanya keadaaan negara dan parti yang di pimpinnya sekarang ini. Dr Mahathir merupakan seorang yang liberal apabila menghadapi isu kepimpinan negara dan beliau selalu sahaja membiarkan gejala ini membesar dan tidak mengambil tindakan apa-apa terhadap masalah yang timbul semasa beliau menjadi pemimpin utama negara dahulu. Masalah yang kini menjadi barah bermula   beliau tetapi tidak sampai ketahap yang ada dibawah Najib sekarang ini.

Tetapi kini Dr Mahathir telah menghamburkan kritikan keras tehadap Najib kerana beliau merasakan keadaan ini tidak boleh lagi berterusan semata-mata untuk menyelamatkan negara dan parti dari terjerumus ke lembah yang paling hina dalam sejarah kemerdekaan negara kita.

Justeru seruan Dr Mahathir untuk UMNO menyingkirkan Najib itu sememangnya wajar. Sesungguhnya rakyat ramai telah lama menunggu saat seperti ini kerana masalah yang kita hadapi sekarang adalah masalah budaya kotor yang telah lama bersemadi dalam parti dan kerajaan kita. Itu sebabnya jika sesiapa yang mengikuti pandangan blog ini sejak bertahun dahulu, meminta menyingkirkan pucuk pimpinan UMNO itu sudah menjadi perkara biasa kepada blog ini.

Walaupun seruan seorang pemimpin ulung Negara ini sudah agak lewat, tetapi ia masih boleh dilakukan kerana sekarang ini rakyat biasa sudah yakin yang selagi pemimpin seperti Najib dan barisan kepimpinan diperingkat tertinggi parti masih dari gulungan dan sikap yang sama, selagi itulah kita tidak akan selesai usaha membetulkan keadaan Negara kita ini.

Sekarang ini UMNO itu sendiri sudah kehilangan segala kudrat untuk menjadi parti yang betul kerana sudah menjadi budaya semua pemimpin parti yang berkuasa untuk menyalah gunakan pengaruh dan kuasa dalam kerajaan. Justeru mengambil tindakan terhadapNajib dan konco-konco beliau dalam barisan kepimpinan negara itu sudah menjadi kewajipan semua jika kita mahu melihat negara dan rakyat tidak diperkosa oleh pemimpin yang sudah kehilangan identiti bangsa dan perjuangan mereka.

Mengikut kefahaman saya dari apa yang disebut oleh Dr Mahathir itu kita terpaksa memilih untuk menyelamatkan Najib dan konconya atau memilih untuk menyelamatkan negara. Untuk memilih menyelamatkan Najib sambil menyelamatkan Negara itu adalah satu situasi yang mustahil untuk dilakukan. Rakyat terpaksa memilih satu di antara dua pilihan itu.

Maka kenyataan Dr Mahathir semalam jelas mahukan rakyat untuk menyelamatkamn negara walaupun kita terpaksa mengenepikan Najib dan kepimpinannya serta merta.

Kepada Dr Mahathir, Najib sudah hilang segala kelayakan untuk menjadi Perdana Menteri kerana beliau tidak mampu untuk memberitahu kita ke mana dan bagaimana wang rakyat dihilangkan.

Najib gagal samasekali menerangkan dengan jelas kepada persoalan rakyat bagaimana pegawai-pegawai keselamatan di sekeliling beliau melakukan pembunuhan tanpa mengetahui siapa pembunuhnya sedangkan umum mengetahui seorang pegawai beruniform itu akan melaksanakan tugas mengikut arahan pihak atasan.

Siapa yang mengarahkan pembunuhan itu dilakukan tidak dapat dijawab oleh Najib walaupun pegawai-pegawai yang melakukan kesalahan itu bertugas dibawah dagunya.

Isu-isu terhadap Najib begitu banyak serta besar dan tidak perlu disebut berulang kali kerana ia amat membebankan rakyat untuk bercakap tentangnya sekarang ini. Masa untuk bercakap sudah habis maka sekarang masa untuk menyingkirkan Najib secepat mungkin seperti yang disarankan Dr Mahathir itu sudah merupakan tanggungjawab terhadap negara.

Najib tidak perlu merasa takut untuk berundur kerana berundur itu merupakan satu-satunya jalan atau pilihan untuk beliau  berbakti kepada negara. Jika beliau gagal untuk menunjukan kemampuan beliau untuk membina Negara, berundur itu adalah cara yang tepat untuk beliau menunjukan yang beliau sayangkan Negara dan sanggup berbuat apa sahaja untuk negara sekali pun terpaksa berundur dari jawatan yang tertinggi dalam kerajaan itu.

Rakyat akan menganggap pengunduran beliau itu sebagai satu sumbangan besar terhadap Negara dan ia akan dikenang sampai bila-bila oleh rakyat dan Negara. Pengunduran beliau itu merupakan satu tindakan bijak bagi mengikis ‘stigma’ buruk yang melekat kepada batang tubuhnya sebagai pemimpin negara.

Najib tidak dapat lagi bertahan dan elok bagi beliau membantu dalam peralihan kuasa negara dari bertahan yang sudah hampir pasti tidak akan mendatangkan kejayaan kepada beliau. Beliau boleh membantu untuk menyelamatkan negara dan bantuan itu adalah dengan cara mempercepatkan persaraan agar negara tidak kecundang kerana kesalahan dan kesilapan beliau.

Sesungguhnya kesalahan dan kesilapan beliau itu ada kesalahan dan kesilapan yang ‘unnecessary’ tetapi kelalaian dan kelemahan beliau sebagai pemimpin negara itu menyebabkan beliau menghadapi masalah-masalah yang  ‘unnecessary’ itu.


Kepada Najib, bantulah rakyat dan negara dengan berundur secara terhormat. Mulakanlah usaha itu dari saat ini dan jangan toleh kebelakang lagi. Hakikatnya ada pemimpin yang boleh berbakti dengan mengambil tugas dan jawatan walaupun ia dari luar kerajaan, tetapi ada setengah pemimpin boleh berbakti dengan mengundurkan diri dan membantu kepimpinan baru negara.


Posted by Aspan Alias

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.