Saturday, January 17, 2015

Ustaz Kazim kata, Mahathir mahu hudud Oleh Subky Latif


http://ww1.utusan.com.my/pix/2013/1206/Utusan_Malaysia/UMNO_2013/um_27.1.jpg

SAYA terbaca sepintas lalu berita Ustaz Kazim Elias, ustaz serba boleh – penceramah, daie, penghibur yang berjenaka – dalam Facebooknya menyebut menziarahi Tun Dr Mahathir Mohamad bertanyakan sikapnya tentang hudud.

Apa yang difahami dari tanggap an Ustaz Kazim, Dr Mahathir juga mahu hudud. Apa pun dia ada takwil tentang peraturan yang sediakan oleh PAS. Malangnya tiada siapa datang membincangkan takwilnya lalu mengira dia menolak hudud.

Kita terima nukilan Ustaz Kazim seadanya.

Empat bulan sebelum Pilihan Raya Umum tahun 1982 saya bertemu Hujjatul Islam Hashemi Rafsanjani, Speaker Parlimen Iran yang baru pulang dari Kuala Lumpur di Tehran. Katanya, dia bertemu Mahahir. Katanya dia juga mahukan Islam.

Maksud mahukan Islam itu ialah menjadikan Islam sebagai peraturan bagi orang perseorangan, masyarakat dan nusa.

Saya tanya beliau, adakah anda percaya kepadanya? Jawabnya, anda lebih tahu kerana dia adalah perdana menteri anda. Tidaklah saya berhajat untuk menyangkal apa yang Dr Mahathir kata pada Hujjatul Islam Rafsanjani dan Ustaz Kazim, kerana tidak bijak mentakwil apa yang ada dalam hati dan otak seseorang selain dari Allah.

Apa yang saya boleh komen ialah adanya orang memberitahu saya dia mahu menjadi penulis dan bagaimana hendak jadi penulis.

Saya tidak takwil hajatnya dan cita-citanya untuk jadi penulis.

Jawab saya, sekadar bercita-cita untuk menjadi penulis tetapi tidak menulis, anda tidak jadi penulis.

Tetapi dengan menulis setiap hari, anda akan jadi penulis yang baik. Jika kita ibaratkan hendak menjadi penulis disamakan dengan hendakkan Islam, maka tidaklah hendak Islam itu sekadar berkata dan bercita-cita hendakkan Islam, tetapi tidak buat apa yang diperintah Islam.

Apa kita hendak kata kepada orang Islam yang masuk PAS pula tapi tidak solat dan tidak puasa?

Maka itulah yang dinamakan orang Islam yang tidak bertiang.

Solat ialah tiang agama/Islam. Kalau anda masuk Islam atau jadi Islam sejak lahir tetapi tidak solat bererti anda masuk Islam yang tidak bertiang. Samalah seperti berada tanah lapang yang tidak berpokok dan bangunan.

Dan Islam itu bukanlah solat saja. Islam itu ada rukun imannya dan ada rukun Islamnya. 
 
Ada puasanya, ada zakatnya, ada peraturan nikahnya dan ada hukum jenayahnya. Kita terima rukun imannya tetapi tidak laksana rukun Islam sepenuhnya, samalah Islamnya itu orientalis.

Orientalis belajar Islam setinggi- tingginya, mahir al-Quran dan sunnahnya tetapi bukan untuk beriman dan beribadat, bahkan dengan ilmu Islamnya dia mengajak orang menentang Islam dan meninggalkan Islam.

Atau tidak suruh tinggalkan Islam, tapi kekal dalam Islam sekadar tidak melaksanakan hal-hal yang wajib. Inilah Islam yang penjajah mahu dan penjajah tinggalkan.

Kata tukang-tukang logik ia adalah Islam Belanda dan Islam Inggeris. Orang Iran kata tentang Islam Saudi sebagai Islam Amerika.

Dari keadaan ini orang meminjam logik peraturan hudud yang dirangka oleh PAS itu adalah hudud PAS. Adalah hudud Brunei Darusslam dan hudud Aceh itu juga bukan hudud Islam tetapi hudud Brunei dan hudud Aceh?

Orang yang beriman kepada apa-apa jua yang diwajib oleh Islam, tidaklah dia menunggu untuk melaksanakannya setelah disuruh. Apabila dia tahu ia wajib, maka tidak ditakwil lagi lalu dilaksanakannya. Jika tidak tahu macam mana melaksanakannya, maka dia mengaji supaya dia tahu.

Tidaklah dia tunggu orang datang kepadanya untuk memberitahu tentang yang wajib itu begitu dan begini. Kalau dia tunggu orang datang untuk memberitahunya, maka samalah dia dengan gunung. 
 
Gunung tidak datang kepada Muhammad. Ia tunggu Muhammad. Muhammad yang datang kepada gunung. Kalau Muhammad tidak datang? Di situlah ia tidak bergerak.

Manusia terutama yang Islam, mahu solat dan puasa, dan mahu hudud tidak boleh jadi macam gunung.

Dia mesti buktikan dia manusia Islam. Imam Bukhari, Imam Muslim dan lain-lain tidak tunggu orangorang yang menyimpan sanad hadis datang kepada mereka bagi meriwayatkan hadis yang mereka kumpul. Melainkan mereka pergi ke semua ceruk rantau mencari nya.

Mengapa mereka ke manamana mencarinya? Kerana mereka bukan gunung tetapi mereka adalah orang mukalaf. Yang bersetuju menerima amanah dan tanggungjawab untuk menjadi khalifah di buka bumi.

Gunung sememangnya dijadikan malas. Ia tidak bergerak ke mana-mana. Di situlah ia dari mula hingga akhir atau datang manusia membotakkannya. Tetapi ia ikhlas. Bila ia ditawarkan untuk jadi khalifah di bumi, ia tolak. Ia tahu ia tak boleh buat dan ia malas.

Tetapi manusia tak tahu ia tak boleh buat dan ia nak ikut malas seperti gunung juga. Maka itulah dinamakan insan gunung.

Sekarang telah datang ilham kepada manusia untuk melaksanakan hudud. Masa penjajah dulu tidak ramai yang dapat ilham.

Orang dapat ilham sama ada diburu atau dipinggirkan. Itulah nasib orang Islam yang dijajah.

Sekarang sudah merdeka. Orang Islam tetap mahu terus menjadi orang Islam. Dan akhirnya yang serba salah dulu pun mula mengaku hendakkan hudud juga.

Setengah menunggu orang lain buat, baru dia hendak buat. Kalau tiada orang hendak buat, me reka selesa join Yahudi dan Nasrani yang tidak mahu hukum yang disyariatkan kepada Nabi Musa a.s. dan Nabi Isa al-Masih. 
 
Kalau Yahudi tidak ikut syariat Nabi Musa dan Nasrani tidak ikut syariat Isa al-Masih, maka umat Nabi Muhammad s.a.w. pun mahu jadi macam Yahudi dan Nasrani tidak ikut syariatnya.

Mungkin ada benarnya orang PAS yang hendak menegakkan hudud itu tidak pergi berjumpa setiap orang untuk mengajak setiap yang mentakwilnya menyokongnya.

Tetapi orang PAS selain dari tidak terlatih seperti orang jemaah tabligh pergi dari rumah ke rumah mengajak orang ke masjid, mereka telah terlatih menggunakan teknologi maklumat bagai menyampaikan semua seruannya.

Nabi s.a.w. tidak mencari Salman al-Farsi untuk menyampaikan seruan. Salman yang mendengarnya mencarinya. Maka apa salahnya orang Islam yang berpelajaran tinggi dan ada kedudukan mencari penggubal hudud bertanyakan mengapa buat begitu dan begini? 
 
Orang yang mengaku dirinya mahukan hudud mesti ada rasa terpanggil untuk sama-sama menegakkannya dan membaiki apa yang dirasakan kurang, supaya ia jadi sempurna.

Yang ada ialah yang mahukan hudud tetapi memperleceh apa yang orang buat sedang dia tidak buat apa-apa.

Yang kata hendak Islam tetapi tidak buat apa yang Islam buat, yang mahu hudud tetapi tidak buat apa-apa supaya hudud dimartabatkan adalah sama seperti gunung dan bukit yang dijadikan menunggu bila Islam dan hudud hendak dilaksanakan, kerana ia tidak diberi tanggungjawab untuk melaksanakannya.

Yang diberi tanggungjawab dan amanah melaksanakannya ialah sekalian mukalaf laki-laki dan perempuan. Pondan yang mukalaf termasuk di kalangan lakilaki.

Itu lah komen saya atas apa yang Rafsanjani dan Ustaz Kazim kata.
 
 
KedahLanie.info

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.