Pemimpin bukan Melayu menjadikan Barisan Nasional (BN) dan PKR sebagai
platform untuk terus berkuasa dalam arena politik tanah air, kata Dr Ridhuan Tee Abdullah.
Pensyarah kontroversi
itu berkata PKR digunakan pemimpin bukan Melayu untuk menerajui
kepimpinan negeri manakala parti komponen menggunakan BN untuk kekal
berkuasa di Semenanjung Malaysia.
"Seperti Barisan Nasional (BN), bukan Melayu menggunakan PKR sebagai
batu loncatan untuk mendapat kerusi dan jawatan ahli majlis mesyuarat
kerajaan negeri (exco) dalam negeri yang ditawan.
“Sama seperti parti komponen BN. Kemenangan mereka di Semenanjung
bergantung kepada undi Melayu,” katanya menerusi rencana yang disiarkan
akhbar Sinar Harian hari ini.
Sementara itu, Ridhuan Tee
berkata PKR juga tidak akan mampu bertahan lama dalam arena politik
tanah air jika presiden parti itu diterajui pemimpin bukan Melayu.
“Jika PKR yang didewakan sebagai parti untuk semua kaum, saya cadangkan
mereka memberi laluan bukan Melayu untuk menjadi presiden selepas ini.
Saya yakin parti ini akan terkubur," katanya.
Pensyarah Universiti Sultan Zainal Abidin itu turut mempersoalkan
tindakan sesetengah orang Melayu yang sanggup memberikan undi kepada DAP
walaupun jelas parti itu meminggirkan mereka.
“DAP, walaupun mendakwa mereka adalah parti untuk semua kaum, hakikat
sebenar tidak. Itu hanya strategi untuk mengaburi dan memenangi hati
orang Melayu dan secara halus meminggir dan menyingkirkannya,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.