Thursday, August 28, 2014

MB Negeri Sembilan Cuba Perbodohkan Melayu


Menteri Besar Negeri Sembilan
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan cuba memperbodohkan orang Melayu apabilanya menyatakan hak Melayu akan hilang sekiranya Pakatan Rakyat mengambil alih negara ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sikamat, Aminuddin Harun berkata, ia ekoran kenyataan Mohamad Hasan baru-baru ini yang mendakwa kononnya Pakatan  akan berusaha memasukkan semula Singapura ke dalam Malaysia, sekiranya berjaya memenangi Pilihan Raya Umum.

“Ini merupakan salah satu strategi Umno untuk mengawal minda ahlinya di samping menekankan isu perkauman secara melampau.

“Beliau (Mohamad Hasan) seorang pemimpin yang tak matang dengan mengeluarkan kenyataan yang sememangnya tidak akan mematangkan minda ahlinya sendiri.

“Kenyataan itu satu bentuk penipuan dan cubaan untuk menakut-nakutkan rakyat, hakikat sebenarnya perkara itu tidak akan berlaku,” katanya kepada Keadilandaily.

Pada 24 Ogos lalu, Mohamad Hasan yang juga Pengerusi Perhubungan Umno Negeri Sembilan, berkata, adalah tidak mustahil Singapura bergabung kembali dengan Malaysia jika kuasa politik dan pemerintahan negara tidak lagi dimiliki Umno.

Menurut Aminuddin, sudah terlalu banyak majlis tertutup atau ceramah anjuran Umno yang menceritakan penipuan sebegini dan orang-orang kampung terutamanya dijadikan sebagai sasaran.

Tambahnya lagi, Umno sendiri yang banyak mengadaikan hak orang Melayu seperti tanah milik KTMB di Singapura (Tanjong Pagar) dan sebagainya.

Selain itu, beberapa bukti lain menunjukkan pengkhianatan Umno seperti menarik semula royalti petroleum rakyat Terengganu dan Kelantan, memperkenalkan PPSMI, menarik peruntukan geran kepada Sekolah Agama Rakyat, penyusutan Tanah Rezab (Simpanan) Melayu dan mengubah sempadan kawasan undi majoriti Melayu.

“Umno tidak perlu menjajah pemikiran rakyat, sedangkan negara sudah menjangkau 57 tahun merdeka,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.