Thursday, August 28, 2014

Kepompong PAS - PAS Sedang Melalui Proses Kematangan Politik

 

Tahap ketiga kitaran hidup seekor rama-rama ialah tahap kepompong. Tahap ini berlangsung bermula saat beluncas menganyam kepompongnya, sehinggalah ia lahir semula sebagai seekor rama-rama. Yang memerhati boleh menentukan tahap kepompong ini hanya dengan melihat warna kulit kepompong yang bermula hijau dan seterusnya berubah perang, kuning dan akhirnya jingga.”

Terdapat beberapa pihak yang mengungkap kemelut Selangor sebagai suatu ancaman besar kepada demokrasi serta kehendak rakyat Selangor. Dan ya, sebahagian besar kehendak rakyat ke arah Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat diperjudikan kerana PAS nampaknya tidak dapat membuat keputusan, selain kerana sikap PKR yang tergesa-gesa memaksakan Langkah Kajang. Akhirnya kita menyaksikan perkembangan yang sedang terjadi.

Pada waktu ini, PAS adalah pihak yang menanggung kerugian terbesar. Semua muncung senjata dihalakan ke arahnya, termasuk dari kalangan pemimpin dan penyokong akar umbinya sendiri. Kita telah pernah mendengar bagaimana sistem Whip Parlimen dikhianati, malah ada yang telah melanggar arahan parti demi kepentingan diri dan/atau mempertahankan prinsip yang lebih besar, bergantung kepada sudut mana yang dipilih untuk membina perspektif ke atas situasi berkenaan.

Walau bagaimanapun, masa depan Pakatan nampaknya kian kelam, sementara BN sedang duduk rehat-rehat di bilik mesyuaratnya sambil menyeringai dari telinga ke telinga menantikan apa lagi kerosakan yang bakal dilakukan. Akhirnya nanti mereka yang akan menangguk untung.

Tetapi saya ingin memohon semua orang untuk berhenti seketika daripada menzahirkan tuduhan dan prasangka terhadap Pakatan, terutamanya PAS, dan melihat gambaran yang lebih besar.

Saya memohon semua orang untuk melihat PAS yang tampaknya seperti sedang cuba memusnahkan diri sendiri itu sebagai sebuah parti yang sedang menempuh proses peralihan daripada cara berfikir PAS GANTI UMNO kepada cara berfikir PAS FOR ALL.

Saya minta anda melihat hal ini sebagai suatu tindakan yang amat diperlukan dan sebagai suatu proses kematangan politik, sama seperti metamorfosis seekor beluncas menjadi seekor rama-rama.

Dari sudut positif, PAS sedang melangsungkan debat dalamannya, meski secara begitu terbuka, yang sangat diperlukan demi memutuskan bagaimana rupa bentuknya dalam proses melangkah maju. Keberanian politik untuk memulakan perjalanan ini, walaupun tak elok dipandang, sedang dilakukan secara bersungguh-sungguh.

Jika boleh kita tolak ke tepi dulu soal krisis Selangor dan soal kelangsungan Pakatan, sekiranya metamorfosis PAS ini melahirkan PAS FOR ALL, politik Malaysia pastinya akan memasuki suatu era baru.

PAS memasuki tahap kepompongnya dengan warna hijau dan kini kelihatan berwarna perang, hampir kotor. Tiada yang akan menafikannya, hatta dari kalangan pimpinan dan kadernya sendiri. Pupa rama-rama atau tahap kepompong ini berakhir apabila kulitnya bertukar Jingga. Sang beluncas muncul semula dengan dirinya yang berwarna gemilang Jingga selepas itu.

Marilah kita berharap bahawa persamaan warna metamorfosis rama-rama dengan Pakatan adalah petanda dari alam tentang rupabentuk PAS yang akan muncul nanti.

Kita harap rama-rama dalam PAS akan bersama-sama visi yang telah dilancarkan sejak 2008, beserta impian PAS FOR ALL, dalam Malaysia untuk rakyat Malaysia, demi rakyat! – Howard Lee/Roketkini

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.