KUALA LUMPUR: Kawasan pencarian dasar laut bagi pesawat Penerbangan
Malaysia MH370 akan dipindahkan lebih jauh ke selatan di Selatan Lautan
Hindi, menurut Timbalan Perdana Menteri Australia, Warren Truss.
Menurut beliau, pihak pakar satelit telah membuat penilaian ke atas
kesemua maklumat yang diperolehi bagi menentukan kawasan pencarian
seluas 60,000 kilometer persegi itu.
Katanya, pencarian di lokasi terbaru itu melibatkan usaha serta pakar
dari serata dunia."Pihak pakar telah menganalisis maklumat komunikasi
satelit... maklumat yang pada mulanya tidak bertujuan untuk mempunyai
kebolehan bagi mengesan pesawat dan membuat pengiraan kompleks," kata
Truss pada satu sidang media pada Khamis.
Katanya kawasan pencarian baharu masih tertumpu kepada garisan lengkung
ketujuh di mana pesawat yang hilang sejak 8 Mac lalu itu dikatakan
membuat komunikasi terakhirnya.
Tambah Truss, pencarian dasar laut itu akan bermula pada Ogos ini dan
dijangka akan mengambil masa selama 12 bulan untuk selesai.Jelasnya,
kawasan pencarian dasar laut itu bertujuan untuk mengesan pesawat serta
sebarang bukti yang membantu penyiasatan Malaysia berkenaan kehilangan
pesawat tersebut.
Sementara itu, Truss tidak menolak kemungkinan pesawat itu telah terbang
dalam keadaan 'autopilot' semasa penerbangannya di kawasan Selatan
Lautan Hindi.Katanya kemungkinan untuk pesawat Boeing 777-200 itu
terbang dalam keadaan 'autopilot' adalah amat besar.
Pada 8 Mac lalu, pesawat MH370 yang membawa 239 penumpang dan anak kapal
hilang daripada imbasan radar kira-kira sejam setelah berlepas dari
Kuala Lumpur menuju ke Beijing ada 12.41 tengah malam. Usaha mencari
pesawat kemudiannya dilakukan di selatan Lautan Hindi. ~awani
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.