Wednesday, April 2, 2014

Enggan pindah ke klia2, AirAsia gesa Najib campur tangan selesai kemelut OLEH MD IZWAN

AirAsia menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak campur tangan dalam menyelesaikan kemelut klia2, selepas syarikat penerbangan tambah murah itu enggan berpindah.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia, Aireen Omar menjelaskan keengganan AirAsia berpindah operasinya ke klia2 disebabkan isu keselamatan dan aspek teknikal lapangan terbang itu. – Gambar fail. Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia, Aireen Omar mempertahankan langkah tidak berpindah ke klia2 dan mengatakan Najib perlu memainkan peranan bagi menamatkan kontroversi melibatkan klia2.

"Kami merayu kepada pemimpin kami, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kerana campur tangan beliau sangat penting dalam menyelesaikan isu ini," kata Aireen dalam satu kenyataan hari ini.



Aireen berkata isu keselamatan klia2 masih tidak selesai dan banyak aspek teknikal yang perlu penambahbaikan.

"Terdapat banyak kebimbangan, terutamanya fungsi, sekuriti dan keselamatan klia2 yang penting kepada kakitangan kami untuk bekerja dengan cekap dan penumpang kami selesa dalam perjalanan mereka," katanya.‎

Awal hari ini, The Malaysian Insider melaporkan keretakan baru ditemui di kawasan apron dan bangunan klia2.

Ini sekaligus menimbulkan keraguan terhadap tahap keselamatan terminal lapangan terbang itu beberapa minggu sebelum operasi bermula di kala Malaysia menjadi tumpuan dunia selepas pesawat MH370 hilang.

Sumber industri itu memberi 13 keping gambar diambil semalam kepada The Malaysian Insider, mendedahkan keretakan di kawasan apron dan dinding terminal dua tingkat pesawat tambang murah itu.

"Tahun ini kami sasarkan membawa 24 juta penumpang menerusi Kuala Lumpur dan dengan saiz operasi ini, kami perlu pastikan lapangan terbang berfungsi sepenuhnya tanpa sebarang gangguan," kata Aireen.

Katanya pihak AirAsia bukan sengaja tidak mahu berpindah.

Menurut Aireen, AirAsia merupakan pemilik utama klia2, ia termasuk 80% lebih trafik klia2, maka ia perlu dipastikan dapat berfungsi untuk tempoh lama.

"Oleh itu, keperluan paling kritikal adalah memastikan klia2 berfungsi sepenuhnya dan beroperasi untuk tempoh yang lama," katanya.

Terminal Penerbangan Tambang Rendah (LCCT) akan menamatkan operasinya pada 9 Mei, dengan kerajaan memindahkan semua agensi relevan seperti Imigresen dan Kastam ke lapangan terbang tambang rendah baru, klia2.

AirAsia berkata, ia tidak akan berpindah ke klia2 bernilai RM4 bilion itu sehingga keadaan tertentu dipenuhi.

Syarikat penerbangan tambang rendah itu dijangka dipanggil panel Parlimen tidak lama lagi yang mahu mendengar pandangannya tentang klia2.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Aziz Kaprawi bagaimanapun tidak dapat memberikan sebarang komen berhubung keputusan AirAsia dan AirAsia X untuk terus beroperasi di LCCT.

"Saya tidak boleh komen dulu. Kita akan lihat pada hari itu," kata Abdul Aziz. – 2 April, 2014.

The Malaysian Insider.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.