Saturday, February 1, 2014

Tindakan Paling Wajar Yang Diambil Oleh BN Di PRK Kajang Posted by Addin Deen

Cadangan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat agar Barisan Nasional (BN) tidak perlu meletak calon dalam pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang jika berasa ia satu pembaziran mendapat sokongan daripada pelbagai pihak termasuk Exco Selangor.

Exco Kebajikan dan Hal Ehwal Wanita, Rodziah Ismail (gambar) berkata, masih belum terlambat untuk BN bertindak dan memberi kemenangan percuma kepada calon PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Kalau Umno rasa dengan berlakunya PRK Kajang ini satu pembaziran, jangan bertanding. Beri laluan kepada calon PKR. Amacam?,” katanya sebagaimana yang dilaporkan Selangorkini, laman rasmi kerajaan negeri Selangor.

Sementara itu, penulis buku politik, Shahbudin Husin dalam tulisan di blognya menyindir Umno yang pernah melakukan tindakan sama pada 1997 ketika mahu menggantikan Tan Sri Muhammad Mohd Taib sebagai Menteri Besar Selangor.

Katanya, Tan Sri Abu Hassan Omar yang menjawat posisi menteri kabinet meletakkan jawatannya sebagai Ahli Parlimen Kuala Selangor, manakala Jamaluddin Adnan pula berundur sebagai Adun Permatang bagi memberi laluan kepada Abu Hassan.

Beliau berkata, tindakan itu memaksa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengadakan dua PRK setelah Abu Hassan dan Jamaluddin bertukar kedudukan.

“Jika PRK DUN Kajang yang diadakan untuk membolehkan Anwar dilantik sebagai Menteri Besar Selangor dianggap membazir, maka dua PRK serentak ketika mahu melantik Abu Hassan dulu tentu jauh lebih membazir lagi,” katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menyifatkan PRK Kajang yang akan datang adalah pembaziran wang awam oleh Pakatan Rakyat (PR).

Beliau berkata, keputusan mengadakan pilihan raya itu hanya sekadar untuk menyelesaikan perebutan kuasa dalam PKR.

Nik Aziz dalam kenyataannya sebelum ini berkata, beliau muak dengan akhbar-akhbar pro Umno yang memainkan isu kononnya langkah mengosongkan kerusi itu ialah langkah memanipulasi demokrasi.

"Barangkali Umno lupa, langkah mereka di Perak pada tahun 2009 itulah langkah yang benar-benar jijik iaitu membelakangkan terus demokrasi dan merampas kerajaan melalui pintu belakang. Umno jangan berlagak baik sedangkan dosa-dosa mereka di Perak masih segar dalam ingatan," katanya.

Beliau juga mencabar Umno dan BN, jika mereka berpandangan pengosongan kerusi di DUN Kajang itu satu pembaziran dan penghinaan terhadap proses demokrasi, jangan sekali-kali meletakkan calon di dalam PRK itu nanti. ~tmi

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.