Sokongan Penuh Pencalonan Anwar Ibrahim Sebagai Calon DUN Kajang dan Khalid Ibrahim Sebagai Pengarah Pilihanraya
Dalam dunia politik Demokrasi Berparlimen, situasi kekosongan kerusi
legislatif sama ada di peringkat Parlimen atau di Dewan Negeri bukanlah
sesuatu yang tidak normal.
Malah, jika kita bicara dalam konteks politik tanahair pun terdapat
beberapa peristiwa pengosongan kerusi legislatif dengan bersandarkan
kepada alasan strategi taktikal percaturan sesebuah gabungan parti-parti
politik.
SAMM Muar menghormati pandangan dan komentar dari teman-teman seluruh
Johor atas nama kebebasan menzahirkan pandangan dan juga dalam masa yang
sama ingin turut mengambil bahagian dalam menyatakan pandangan.
Hakikat dan sejarah politik menentang rejim Pemerintah dalam negara ini
mempunyai banyak kisah dan penuh warna-warni. Dan kerana itulah, SAMM
Muar memilih untuk tidak segera memberikan komentar.
Situasi yang berlaku di Selangor tampak tidak jauh berbeda dengan
tahun-tahun akhir pemerintahan Pakatan Rakyat di Kedah. Pertembungan dan
percakaran beberapa fraksi dengan kepimpinan eksekutif negeri akhirnya
telah mengakibatkan rakyat Kedah mengambil keputusan untuk meninggalkan
koalisasi Pakatan Rakyat.
Maka, SAMM Muar sebagai sebuah gerakan anak muda yang sudah muak dengan
pentadbiran rejim Pemerintah Barisan Nasional dapat memahami justifikasi
tindakan tidak popular Anwar Ibrahim dalam isu DUN Kajang.
Adalah sesuatu yang amat malang sekali bagi rakyat Selangor sekiranya
beliau tidak datang dengan tindakan radikal seperti ini dan hanya
berdiam diri melihat pentadbiran cemerlang dan mesra rakyat di Selangor
ketika ini musnah dalam Pilihanraya Umum ke 14 akan datang ekoran
daripada percakaran fraksi-fraksi yang tidak berkesudahan.
Hakikat yang perlu difahami oleh semua pendokong-pendokong gerakan
menentang BN adalah Selangor merupakan paksi atau tunjang utama Pakatan
Rakyat maka ia wajib dipertahankan daripada sebarang ancaman dan
tindakan parasit-parasit yang berselindung atas nama rakyat.
Barisan Nasional juga tidak patut angkuh kononnya tindakan ini sebagai
satu tindakan tidak demokratik. Bagaimana kamu boleh mengungkapkan
perkataan tidak demokratik walhal kamu sebelum ini melakukan sesuatu
yang lebih buruk di Perak?
Tindakan Parti Keadilan Rakyat dan Anwar Ibrahim ini lebih elok apabila
menyerahkan semula hak rakyat Kajang untuk membuat pilihan mereka bukan
dengan memaksa mereka menerima sahaja tindakan atau keputusan yang
diambil oleh koalisasi politik.
Sehubungan itu, Solidariti Anak Muda Malaysia Zon Muar sebagai sebuah
gerakan anak muda Muar dengan jiwa yang besar menyokong penuh pencalonan
Dato' Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Parti Keadilan Rakyat bagi
pilihanraya kecil DUN Kajang.
SAMM Muar juga turut menyokong penuh perlantikan Tan Sri Khalid Ibrahim,
Menteri Besar Selangor sebagai Pengarah Pilihanraya untuk DUN Kajang.
SAMM Muar dan sekutu juga berikrar dan bersedia menggerakkan jentera
kami ke Kajang bagi membantu mempertahankan DUN Kajang seperti mana kami
beraksi dalam kempen #Hizwan4Muar dalam pilihanraya umum yang lalu.
Rakyat Kajang harus berbangga kerana mereka mempunyai peluang untuk
mendapat khidmat seorang negarawan yang bukan sahaja diakui oleh dunia
politik tempatan malahan masyarakat antarabangsa.
Ahmad Anwar Asyraf
Penyelaras
Solidariti Anak Muda Malaysia Zon Muar (SAMM Muar)
Tel : 018-2864256
Email : samm.muar@gmail.com
Addin:
Addin pada mulanya agak terkejut dengan keputusan Adun Kajang
meletakkan jawatan dan telah mengeluarkan reaksi segera yang tidak
berpuas hati sepertimana reaksi sahabat-sahabat yang lain. Namun setelah
mendengar penjelasan dari pimpinan, Addin dapat terima keputusan ini dengan hati yang terbuka.
Diharapkan semua penyokong PR dapat menerima penjelasan pimpinan PR demi
kepentingan PR. Lawan kita sebenar adalah BN.. bukannya sesama kita..
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.