Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir tidak akan
membenarkan parti pembangkang mengadakan perhimpunan di Stadium Sultan
Abdul Halim, Suka Menanti, Selasa ini kerana perhimpunan seperti itu
tidak wajar diadakan.
Katanya walaupun beliau berpendapat mana-mana pihak boleh mengadakan
perhimpunan tetapi pengisiannya perlu diteliti sebelum diberikan
kebenaran.
"Perhimpunan ini yang telah diadakan di beberapa tempat di seluruh
negara bertujuan menimbulkan rasa benci di kalangan peserta terhadap
kerajaan yang mendapat mandat daripada rakyat untuk tubuhkan kerajaan
Persekutuan serta di Kedah ini. Ini suatu yang tak boleh diterima.
"Kalau setakat nak berhimpun takde masalah. Ini kandungan ucapan oleh
pemimpin pakatan pembangkang sarat dengan tohmahan dan dakwaan tidak
berasas," katanya kepada pemberita selepas Majlis Kenduri Kesyukuran
peringkat negeri di kediaman rasmi Menteri Besar, Seri Mentaloon di Alor
Setar hari ini.
Pesuruhjaya PAS Kedah yang baru, Datuk Mahfuz Omar hari ini merayu
supaya Mukhriz membenarkan pakatan pembangkang mengadakan perhimpunan
berkenaan di Stadium Sultan Abdul Halim.
Mahfuz yang juga naib presiden PAS berkata pihaknya sebelum ini telah
mengemukakan surat permohonan kepada pihak pengurusan stadium tersebut
namun ditolak dan tidak dibenarkan untuk mengadakan perhimpunan
tersebut.
Katanya pihaknya hari ini akan menghantar surat rayuan kepada Mukhriz
selaku Pengerusi Perbadanan Stadium Kedah agar membenarkan mereka
melakukan himpunan tersebut atas dasar 'demokrasi'.
Mukhriz berkata jika perhimpunan itu dibenarkan dan dakwaan-dakwaan itu
diulangi, beliau khuatir ia akan mengelirukan rakyat dan mencetuskan
ketegangan di kalangan rakyat.
"Kita dah terlalu lama berpolitik. Jadi biarlah selepas PRU13 yang
paling sengit, kita satukan balik rakyat. Tidak perlu panjang-panjangkan
lagi dan timbulkan rasa marah rakyat. Bagi saya, jawapannya adalah
TIDAK (untuk benarkan stadium itu digunakan). Saya juga dapat nasihat
daripada polis, permit tidak akan dikeluarkan ," katanya.
Dalam perkembangan lain, Mukhriz menyambut pengumuman Perdana Menteri
Datuk Seri Najib Tun Razak mengekalkan Datuk Seri Mustapa Mohamed untuk
terus menerajui Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri
(MITI)," katanya yang juga timbalan menteri MITI..
"Satu keputusan yang amat tepat. Kerja-kerja di MITI perlukan
kesinambungan berterusan. Kalau ketuanya sama banyak dasar yang beliau
rangka sebelum ini dapat diteruskan dan dilaksanakan sebaik mungkin,"
katanya.
- Bernama
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.