Sunday, September 23, 2012

BENARKAH KETUA PEMUDA UMNO SABAH SONGLAP RM7 JUTA?

 
BENARKAH AWANG KADIN SONGLAP RM7 JUTA?

WAWANCARA......Asbal (bersongkok) sedang menjelaskan Skandal Sarang Burung Gua Gomantong kepada Krew Sabahkini.net di sebuah hotel di Sandakan.

Oleh : SHAIMON JUMADI

PARA pewaris dan penender sarang burung Gua Gomantong Sandakan merayu Perdana Menteri Malaysia, merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak agar dapat mengarahkan Ketua Pesuruhjaya SPRM menjalankan siasatan segera dan menghadapkan mereka yang terlibat dengan Skandal Sarang Burung berkenaan kemuka pengadilan.

Salah seorang penender, Asbal @ Asman Shah Bin Asik yang mewakili Warisan 5G 5K Gua Gumantong (1882) Sdn. Bhd. (952200-K) berkata beliau amat kecewa kerana sehingga hari ini (23 September 2012), belum mendapat sebarang keputusan muktamad daripada Kerajaan Negeri Sabah berhubung tender sarang burung Gua Gomantong tahun 2012.
 
"Kami telah membuat laporan di Pejabat SPRM Sandakan sejak April 2012, tetapi tidak ada sebarang penyiasatan dilakukan," ujar Asbal yang menemui Krew Sabahkini.net yang sedang menjalankan operasi khas baru-baru ini.

Kata Asbal, mereka kesal kerana kesemua penender asal masih dibenarkan meneruskan tender berkenaan sedangkan penender baru kerugian ratusan juta ringgit sejak Kerajaan Negeri tidak mengumumkan keputusan tender berkenaan.

"Anehnya, kesemua kontraktor asal adalah 'BANKRAP' dan tidak layak meneruskan tender berkenaan terutama Ketua Pemuda UMNO Sabah, Haji Awang Kadin Tang setelah syarikatnya masih berhutang sejumlah RM7 juta dengan Jabatan Hidupan Liar Sabah," kata Asbal yang meminta penjelasan segera berhubung isu hutang berkenaan.

Kata Asbal, kesemua pewaris dan penender amat terkilan kerana Kementerian Kewangan tidak mengambil sebarang tindakan menghentikan kontrak memungut sarang burung di Gua Gomantong bagi Lot 1, Lot 3, Lot 5 dan Lot 7 sedangkan Awang Kadin belum menjelaskan hutangnya sehingga ke hari ini; sebaliknya dibenarkan menambah hutang.

Persoalannya, kata Asbal, bagaimana Jabatan Hidupan Liar boleh membenarkan Awang Kadin berhutang sedangkan semua sarang burung yang dipungut dijual secara tunai?

Dalam hal ini kata Asbal, Pengarah Jabatan Hidupan Liar telah menyalahi Akta Acara Kewangan dan boleh diambil tindakan surcaj kerana gagal memungut HUTANG atau lebih tepat wang pewaris yang 'DIROMPAK' Awang Kadin selama ini.

Begitu juga dengan Lot 2 dan Lot 4, kata Asbal, pihaknya mengesan kontraktor berhutang Iebih kurang RM5 Juta tetapi Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan masih membenarkan kontraktor ini meneruskan perkhidmatan memungut sarang burung.

"Saya mengetuai Empat Kumpulan Pewaris telah mendapat keputusan Mahkamah Syariah berhubung hak warisan dan menyertai kesemua tender yang dipelawa Jabatan Hidupan Liar atas nama Warisan 5G 5K Gua Gumantong (1882) Sdn. Bhd, tetapi hampa hanya dapat masuk tender dan dipilih, tetapi tidak dapat masuk gua," kata Asbal yang kesal kerana Jabatan Hidupan Liar masih mengamalkan hukum rimba.

Sebagai Anak Negeri Sabah yang teraniaya dan haknya telah dinafikan oleh Jabatan Hidupan Liar; kata Asbal, sekalipun Perdana Menteri tidak mempunyai jurisdiksi ke atas Kerajaan Negeri; namun beliau pohon ehsan dan kerjasama Najib agar mengarahkan SPRM menjalankan siasatan rapi.

"Kita percaya terdapat penyelewengan peringkat tertinggi dalam sistem tender Kerajaan Negeri Sabah; terutama 'Imuniti' yang dimiliki oleh Awang Kadin Tang," kata Asbal yang tidak menolak kemungkinan terdapat 'Cartel' yang melindungi Awang Kadin selama ini.

Tegas Asbal, jika tiada tindakan diambil terhadap 'Penjenayah Kolar Putih' seperti Awang Kadin yang melunturkan kepercayaan para pengundi, maka seluruh masyarakat Pewaris Gua Gomantong tidak lagi akan memberi kepercayaan kepada Kerajaan Barisan Nasional.

"Selama ini Kerajaan BN Sabah sinonim sebagai perampas tanah dan hak mutlak kami sebagai pewaris sarang burung Gua Gomantong," kata Asbal yang membayangkan akan mendedahkan segala maklumat dalam masa terdekat untuk paparan umum bagi membuktikan bahawa Ketua Pemuda UMNO Sabah adalah 'Penjenayah Besar' yang dilindungi UMNO selama ini.
 
 
/~sabahkini.net

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.