Tuesday, August 21, 2012

“Alif Mim Nun Wau (UMNO)…bunyinya sarkis” Warkah buat Penerbit filem ‘Tanda Putera’ Oleh : Mazir Ibrahim

 
Apabila kehangatan isu filem ‘Tanda Putera’ semakin meninggi, maka penerbit dan pengarah filem tersebut terpaksa mengadakan sidang akhbar khas untuk cuba menjelaskan keadaan.

Tuduhan terbaru datangnya dari laman sosial facebook yang mempromosikan filem berkenaan, yang mana gambar Lim Kit Siang yang sebenarnya sedang ditahan oleh pegawai emigresen, telah diseleweng dan dijadikan sebagai bukti bahawa Lim Kit Siang ditangkap kerana kencing ditiang bendera rumah Menteri Besar Selangor pada ketika itu.

Dalam sidang akhbar tersebut, terdapat dua perkara penting yang boleh kita analisis bagi melihat sejauh mana kefahaman karyawan filem kita tentang subjek yang menjadi bahan ceritanya iaitu sejarah dan politik.

Pertama, penerbit filem terbabit telah menyatakan kesediaan mereka untuk membuat tayangan khas untuk pembangkang, tujuannya untuk menunjukan bahawa tiada unsur-unsur meragukan (hasutan perkauman) dalam naratif filem tersebut.

Tetapi kesediaan ini bersyarat iaitu, jika pembangkang (Pakatan Rakyat) bersedia menampung kos tayangan khas itu tadi, maka mereka sanggup menayangkannya, jika tidak maka hasrat tersebut tidak akan terlaksana hinggalah ia ditayangkan kelak kepada umum.

Persoalan kos ini agak menarik minat kita, apabila seorang produser filem, membuat filem atas pembiayaan Finas, iaitu salah satu agensi kerajaan yang mana wang dana Finas itu adalah bersumberkan wang cukai rakyat, ingin meletakan ‘harga’ untuk satu tayangan khas.

Adakah penerbit ini sedar bahawa, mereka bukan sahaja mengadaptasi satu sejarah rakyat/negara (cerita bukan idea asal pengkarya) dan mendapat pembiayaan dari wang cukai rakyat, tetapi tetap mahu mengaut keuntungan sungguhpun tayangan khas ini bukan bertujuan untuk hiburan hatta bukan untuk membuat untung.

Bukankah tayangan khas itu mempunyai tujuan yang khas? ianya mahu membuktikan bahawa filem itu bersih dari elemen hasutan perkauman sebaliknya filem tersebut memaparkan simbol semangat juang pemimpin seperti yang ingin disampaikan oleh pengkarya terbabit. Jadi kos apa yang perlu dibayar lagi oleh pihak pembangkang?

Ini samalah dengan perangai kontraktor UMNO, sudah diberi kuasa kemudian mahu ambil kesempatan mengaut harta rakyat pula. Dalam situasi luar biasa sebegini, seharusnya penerbit bersikap profesional untuk berurusan dengan pembangkang kerana kita sebagai pembangkang amat profesional dalam mengkritik karya Malaysia atau dasar kerajaan.

Kedua, tuduhan penerbit filem tersebut bahawa Lim Kit Siang ‘mudah terasa’ dengan gambar yang dimuat naik dilaman facebook sungguhpun gambar tersebut telah dikeluarkan oleh pihaknya.

Kita tidak pasti apakah maksud sebenar tentang ‘mudah terasa’ si Penerbit filem ini, adakah beliau bermaksud Kit Siang terlalu sensitif dan terasa hati dengan gambar tersebut? Wallahualam.

Namun, dakwaan tersebut seolah-olah gambar yang dimuat naik itu gambar yang bersifat gurauan hingga penerbit tersebut menggunakan perkataan ‘mudah terasa’. Bukankah gambar tersebut dengan kapsyen diberi adalah salah. 
 
 Adakah penerbit ini faham bahawa gambar adalah fakta dan sesuatu kapsyen juga adalah fakta. Jadi, dengan gambar Lim Kit Siang dalam aksi sedang ditahan oleh pegawai emigresen dengan kapsyen yang salah merupakan satu kesalahan.

Mereka yang bekerja dengan media amat arif akan hal ini. Tetapi adakah penerbit tersebut terlalu bodoh untuk memahami asas fakta sebegini?

Ini bukan soal terasa hati kerana satu gurauan atau jenaka bodoh. Tetapi ini kesalahan fakta yang memalukan malah, kesalahan ini juga mungkin boleh membahayakan nyawa seorang insan, dan insan ini adalah ahli politik vateren dalam arus perdana politik Malaysia.

Malah, subjek (gambar dan kapsyen) tersebut merupakan subjek yang sensitif, yang melibatkan satu trajedi hitam dalam negara, ia kes jenayah dan kes rusuhan kaum. Apakah penerbit ini tidak sedar hingga beliau sanggup mendakwa bahawa LKS ‘terasa hati’ dengan paparan gambar dan kapsyen yang penuh dengan niat hasutan itu.

Setahu kita, karyawan dan artislah yang kuat terasa hati, lebih-lebih lagi apabila karyanya menerima kritikan oleh masyarakat umum.

Dalam sidang media itu juga, sutradara filem terbabit turut mengeluh kerana filemnya dikritik hanya dengan menonton sedutan pendek filem, sebelum ianya ditayangkan.

Ingin kita jelaskan disini, sebab itulah kita mahu filem tersebut ditayangkan secara khas kepada pihak yang berkaitan supaya semua pihak jelas akan kedudukan sebenarnya.

Lagi pun, ini juga peluang yang baik untuk pengarah tersebut merasai apa yang kita dalam Pakatan Rakyat rasai. Apabila pengarahnya ‘terasa hati’ dengan kritikan awal iaitu sebelum filemnya ditayangkan, kes ini samalah dengan kes Buku Jingga dan dasar-dasar PR.

PR tak pernah berpeluang memerintah Malaysia, jadi mana mungkin dasar yang kita sarankan itu mampu menunjukan hasil. Jika nak tahu hasilnya, nah..berilah PR peluang memerintah. Pasti selepas itu, anda mahu PR terus memerintah Malaysia.

Bagi para karyawan, setiap paparan subjek dalam layar putih atau apa jua medium, paparkanlah realiti subjek dengan penuh nilai estatik, bukan sensasi subjek yang plastik.

DAP menghormati hak pengkarya dan kita meraikan kebebasan bereskpresi. Ini merupakan dasar DAP yang teguh sejak sekian lama. Pengkarya punya peranan dan tanggungjawab moral atas setiap karyanya, begitu juga dengan ahli politik.

Gunakanlah subjek dalam setiap karya anda dengan penuh bermutu, karya yang bagus adalah karya yang malar segar, belajarlah sedikit dari P.Ramlee untuk berani menyatakan realiti dalam karyanya.

Teringat dialog dalam filem Pendekar Bujang Lapok “ Alif Mim Nun Wau (UMNO)…bunyinya sarkis”. 


Kerajaan Rakyat

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.