Wednesday, September 28, 2011

Hapus Kuota 30%: UMNO Juga Bakal Terhapus Sama Nanti... Tunggulah!


Kuota Bumiputera: Najib ikut kata Soi Lek?

KUALA LUMPUR, 28 Sept: Adakah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengikut kata Presiden MCA, Datuk Seri Chua Soi Lek berhubung penghapusan kuota ekonomi?

Berucap pada Khazanah Megatrends Forum 2011 di sini semalam, Najib memberi peringatan bahawa kuota Bumiputera akan digugurkan satu hari nanti, tetapi menegaskan kerajaan harus terus membantu bakat-bakat terbaik kaum itu bagi memastikan wujudnya persekitaran bisnes yang berdaya saing.
Beliau berkata Model Baru Ekonomi (MBE) menggalakkan tindakan afirmatif berdasarkan meritokrasi dan ‘kita harus menggalakan hak Bumiputera’.

Sementara itu, Soi Lek meminta kerajaan mementingkan keupayaan merit dan bukannya kuota dalam memastikan perkongsian tulen antara bumiputera dan bukan bumiputera mencapai matlamatnya.

Ini kerana, jelasnya dalam perniagaan di kebanyakan sektor seperti pembinaan, peniaga bumiputera lebih banyak mendapat kelebihan berbanding bukan bumiputera.

Katanya, perkembangan itu tidak sihat dan memerlukan perhatian serius daripada kerajaan kerana jika ia berterusan, peniaga bumiputera tidak akan mampu disaingi oleh pihak lain yang lebih layak.

Beliau berkata demikian selepas perasmian Kongres Ekonomi Cina bertajuk Peranan Masyarakat Cina Mencapai Sasaran Model Baru Ekonomi (MBE) dan Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) di sebuah hotel di ibu negara pada 14 Ogos tahun lalu.


Terdapat keperluan hindari sistem kuota, kata Najib

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini berkata terdapat keperluan untuk menghindari sistem kuota kepada bumiputera dalam membina kapasiti mereka kerana pendekan itu tidak mencapai tujuan ia diperkenalkan.

Sebaliknya, Najib berkata, kuota ekuiti 30 peratus itu hanya menghalang usahawan bumiputera daripada mempertingkatkan kemampuan mereka.

"Kami mahu menghindari kuota tetapi kami akan menyokong supaya mereka (usahawan bumiputera) terus berkembang.

"Sekiranya kamu memberi mereka kuota, mereka akan
bersenang-lenang dan akhirnya tidak memperolehi kepakaran untuk mengurus perniagaan mereka," katanya.

Menjawab soalan daripada hadirin semasa sesi soal-jawab Forum Megatrends Khazanah 2011 di Kuala Lumpur, Najib berkata penetapan kuota "tidak membawa apa-apa makna".

"Kamu perlu meninggalkan kuota. Tetapi kamu mesti menyokong mereka (Bumiputera) dalam cara yang akan membolehkan mereka berkembang dari usahawan kecil dan sederhana untuk menjadi lebih besar dan menjadi jaguh serantau.

"(Usahawan bumiputera) akan menjual saham-saham mereka apabila harga tinggi dan hanya akan tinggal peratusan kecil daripada jumlah yang diperuntukkan untuk bumiputera (dalam pegangan mereka)," katanya.

Oleh itu, perdana menteri berkata kerajaan akan menggunakan pendekatan berlainan dalam tindakan afirmatif bagi mengesan bumiputera yang cekap, teruji dan boleh berjaya serta menyokong mereka supaya akan lebih berdaya saing.

"Kami telah mengenal pasti lebih daripada 1,000 syarikat melalui Teraju, dan kita akan melihat bagaimana untuk membantu syarikat-syarikat ini menjadi lebih besar dan lebih maju," katanya, merujuk kepada agensi kerajaan yang ditubuhkan bagi menyelia hal-ehwal ekonomi bumiputera.

Katanya, dengan menyokong "bumiputera bijak", bukan sahaja akan memperkembangkan bakat dalam masyarakat itu tetapi juga mengelakkan bantahan daripada rakan-rakan bukan bumiputera mereka.

"Jadi, anda perlu menggalakkan calon bumiputera yang sesuai. Sekiranaya anda berbuat demikian, bukan sahaja mereka akan berjaya, tetapi bukan bumiputera juga tidak akan merasa iri hati terhadap mereka," katanya.

Najib, yang juga Presiden Umno, berkata sudah tiba masanya kerajaan beralih daripada budaya "mengenali seseorang” (know who) kepada budaya "tahu melakukannya" (know how) dalam masyarakat.

"Tindakan afirmatif akan berasaskan lebih dan lebih lagi pada meritokrasi.

"Pendekatan baru ini diharapkan dapat membina satu kelas baru usahawan bumiputera yang lebih berdaya tahan dan boleh berjaya dalam jangka masa panjang," katanya.

Najib sebelum ini telah mengumumkan hasrat kerajaan untuk meliberalisasikan ekonomi dari kuota berasaskan kaum melalui Model Ekonomi Baru (MEB), tetapi menerima tindak balas negatif daripada kumpulan-kumpulan berkepentingan kaum. -mk


Ulasan GB


Penghapusan kuote 30% bumiputera adalah termasuk di dalam perancangan Najib untuk mengekalkan kuasanya dan UMNO BN yang kini sedang nazak.

Ia adalah untuk mendapatkan kembali undi bukan-Melayu yang sudah menolak BN di dalam PRU yang lalu terutama di kawasan bandar.

GB sudah ulas dahulu. Petikan:
Sekarang siapa sebenarnya yang menjadi pengkhianat bangsa jika bukan Najib dan UMNO?

Ia adalah langkah terdesak Najib dan UMNO untuk meraih sokongan kaum bukan Melayu terhadap BN.

Pun kita akan saksikan, bukan-Melayu tidak berkeinginan menyokong BN lagi.

Tanpa kuota 30%, yang bakal terhapus ialah Melayu UMNO - parti yang hidupnya selama ini bergantung kepada kuota itu.


Apa pun yang dilakukan Najib kini untuk selamatkan UMNO BN, ia tidak akan berhasil lagi. Bak pepatah, di tutup bawah yang atas terbuka, ditutup atas yang bawah ternganga.



 

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.