Sunday, September 18, 2011

Elak program 'syok sendiri' - by Malaysia Chronicle

SHAH ALAM - Datuk Seri Najib Tun Razak mengingatkan pemimpin Barisan Nasional (BN) agar tidak melaksanakan program 'syok sendiri' seterusnya memberi laporan tidak tepat tentang bacaan politik di sesuatu kawasan sehingga menjejaskan usaha merampas kembali Selangor daripada pembangkang.

Perdana Menteri sebaliknya berkata, mereka perlu memastikan program yang dijalankan menepati strategi meraih sokongan rakyat terutama pengundi muda yang bakal mengundi buat kali pertama dalam pilihan raya umum akan datang.

"Jangan kita syok sendiri...apabila buat program Juara Rakyat, (laporan dibuat) kami ada perhimpunan 300 orang dan kesimpulannya program berjaya. Kemudian laporan dihantar ke ibu pejabat, diproses serta dihantar kepada Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri.

"Siapa 300 orang itu, saya sudah tahu. Sudah 35 tahun dalam politik, saya tahu permainannya. Anda tahu apa yang saya tahu, saya tidak pakai laporan seumpama itu, tetapi kalau 300 itu bukan ketua cawangan dan penyokong tegar atau yang dahulu menentang kita, itu berbaloi," katanya.

Beliau yang juga Pengerusi BN berkata demikian dalam ucaptama perasmian Konvensyen BN Selangor di Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini hari ini.

Hadir sama Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor; Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Noh Omar; Pengerusi Konvensyen BN Selangor, Datuk Seri Ir. Mohd. Zin Mohamed dan pemimpin-pemimpin parti komponen.

Perdana Menteri mengingatkan pemimpin parti bahawa beliau mengetahui status kebenaran sesuatu laporan yang disediakan dan memberi amaran agar mereka tidak membuat laporan yang menipu diri sendiri atau pemimpin atasan.

"Bagi laporan (semua) putih, kalau kelabu jangan kata putih, kalau hitam jangan kata kelabu, mesti beritahu betul-betul. Kalau program itu bukan sahaja output tetapi outcome. Laporan macam dulu tidak boleh pakai lagi sebaliknya dengan tindakan dan penilaian tepat dan jujur," katanya.

Najib berkata, laporan terhadap program-program yang dilaksanakan itu bukan dibuat sekadar ingin menyedapkan hati sahaja seperti yang berlaku pada 2008.

"Kita rasa kita cukup kuat tetapi kalau laporan kita betul, kita tidak akan kalah di Selangor kerana jika ada laporan tepat kita boleh buat tindakan pemulihan. (Sebaliknya) Kita tidak buat (laporan tepat) kerana rasa tidak mungkin kalah, itu rangka pemikiran kita bahawa tiada siapa fikir kita akan kalah di Selangor," katanya.

Dalam pada itu di hadapan lebih 3,000 peserta konvensyen, beliau menyeru agar semangat permuafakatan antara kaum yang selama ini dilaksanakan dalam BN terus disemarakkan dengan semua pemimpin menghayati bahawa perjuangan mereka adalah untuk kepentingan semua kaum.

Justeru, beliau meminta seluruh ahli dan kepimpinan BN agar membuka minda terhadap realiti politik semasa yang menuntut mereka tidak hanya memperjuangkan kepentingan kaum dan kelompok masing-masing.

"Dalam konteks negeri Selangor tidak mungkin kalau kita ada pertimbangan kepada mentaliti silo iaitu menjaga (kepentingan) satu-satu kaum sahaja. Realiti politiknya adalah tidak mungkin kita boleh berjaya dan membentuk kerajaan kalau BN berdiri atas sokongan satu kaum sahaja," katanya.

Beliau menegaskan, pemimpin BN yang tulen akan menghulurkan bantuan kepada masyarakat yang susah tanpa mengira kaum dan warna kulit dengan terus 'menerpa' ke hadapan membantu sekiranya golongan itu layak diberi pertolongan.

- Utusan

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.