Friday, August 26, 2011

UMNO terdesak hingga tersedak - Oleh Muhammad Zir

 Sudah terbukti, demi mengekalkan kuasa walau pun semakin tidak disenangi rakyat, UMNO sanggup melakukan apa sahaja tanpa mengira halal haram atau dosa pahala, apa lagi peduli dengan undang-undang ciptaannya sendiri.

Umum sudah tahu tentang manipulasi sistem pilihan raya, tentang warga asing dijadikan pengundi, tentang isu perkauman dan keagamaan yang sempit dibangkitkan untuk menakut-nakutkan rakyat.

Fitnah yang semakin menjadi-jadi berleluasa di seluruh negara termasuk melalui lidah rasmi UMNO Utusan Malaysia dan media massa yang di bawah telunjuk UMNO-Barisan Nasional.

Paling teruk menjadi mangsa fitnah adalah negeri-negeri di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat – Kedah, Pulau Pinang, Kelantan dan Selangor.

Malah, Selangor tidak habis-habis menjadi sasaran UMNO yang secara tiba-tiba menjadi juara agama Islam sejak tewas dalam pilihan raya umum 2008. Perkara-perkara yang sekarang dikatakan “salah” yang dituduh terhadap Pakatan, semuanya itu halal dan baik belaka kepada UMNO sejak Merdeka lagi.

Memang nampak jelas kemaruk UMNO mahu merampas kembali Selangor dengan apa sahaja cara. Segala kebaikan pentadbiran Pakatan pimpinan Tan Sri Khalid Ibrahim digambarkan sebagai buruk, jahat dan hina oleh media milik UMNO-BN.

Sehinggakan ada juga beberapa pemimpin Pakatan di Selangor yang termakan fitnah keji itu. Maka bersoraklah UMNO kerana kemungkinan untuk mengambil semula negeri terkaya di Malaysia itu semakin cerah.

Pekung dalaman UMNO

Tiba-tiba terdedah pekung dalaman UMNO yang tidak banyak diketahui umum kerana selama ini ditutup media kawalan UMNO.

Sumbernya tak lain tak bukan, bekas Menteri Besar Selangor Datuk Seri Dr Khir Toyo, pemimpin UMNO yang menjadi kambing hitam atas kekalahan BN di Selangor dalam PRU 2008.

Dalam blognya semalam, Dr Khir yang juga Adun Sungai Panjang telah menulis:

“Dalam bulan yang mulia ini juga saya ingin mengingatkan tiga orang sahabat yang menjadi Menteri dalam kabinet sekarang agar jangan keterlaluan untuk mengenakan saya.

“Saya tidak mendedahkan nama menteri-menteri ini kerana tidak mendapat bukti yang sahih sungguhpun beberapa sumber saya sangat boleh dipercayai.

“Seorang Menteri dilaporkan berkata kepada dua orang Menteri lain bahawa jika mahu mendapat kembali Selangor maka Khir Toyo perlu didakwa. Sekarang Menteri yang sama berkata jika mahu menang Selangor Khir Toyo perlu dipenjarakan.”

Membaca fikiran Dr Khir ini, jelas sekali beliau sudah pasrah dengan kenyataan yang sedang beliau hadapi. Untuk beliau, kita ucapkan selamat maju jaya dalam urusan kesnya.

Namun apa yang menarik perhatian ialah ungkapan Dr Khir ini secara nyata menggambarkan usaha terdesak UMNO untuk merampas Selangor dengan pelbagai helah, tipu daya, konspirasi, hatta sanggup memangsakan Dr Khir, sahabat seperjuangan mereka sendiri.

Begitulah sikap pemimpin UMNO. Habis madu sepah dibuang. Dulu dipuja kini dihina.

Taktik kotor UMNO

Segelintir pihak dalam UMNO ini sudah memulakan usaha mereka sejak dari isu Kerajaan Perpaduan Melayu yang dicanang-canangkan – usaha menggabungkan tenaga UMNO dengan PAS – ketika Pakatan Rakyat mengambil alih Selangor selepas Mac 2008.

Puak-puak ini tidak peduli kesan jangka panjang tindakan dan aksi jelek mereka. Yang mereka gilakan hanyalah kuasa.

Antaranya, protes menentang kuil Hindu dengan memijak kepala lembu dilihat sebagai sengaja memprovokasi sentimen agama dan kaum. Kemudian, seperti ada “bantuan dalaman”, isu-isu menjual arak, menyerbu majlis makan malam gereja dan sebagainya, yang sebenarnya tidak banyak menonjolkan kemuliaan dan keagungan Islam sebagai ad-Din.

Selain provokasi kaum dan agama, manipulasi pengundi semakin menjadi-jadi, bukan sahaja di Selangor, malah di seluruh negara. Ini semakin terdedah selepas perhimpunan aman Bersih 2.0 pada 9 Julai lalu yang menuntut kerajaan melaksanakan pilihan raya yang bebas, adil dan bersih.

Ini juga berlaku ketika janji kosong kerajaan UMNO-BN kononnya mahu menubuhkan Jawatankuasa Pemilih Parlimen yang kini terbukti hanya helah politik dan taktik mengalih pandangan.

Di Selangor sekarang, Pakatan Rakyat telah menemui dan mendedahkan daftar pemilih yang kotor; tentang bagaimana Suruhanjaya Pilihan Raya gagal mengesan dan menjelaskan mengenai sejumlah besar pengundi yang tiba-tiba muncul beralamatkan rumah Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali, yang juga Ketua PKR Selangor.



Begitu juga dengan pengundi klon yang dibangkitkan oleh PAS, yang mana pengundi jenis ini muncul dengan jumlah yang sememangnya boleh menjatuhkan kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor. Jumlah ini mendadak naik secara tiba-tiba.

Semua ini adalah usaha jahat dan terancang yang diusahakan oleh beberapa kerat elit UMNO Selangor demi mencapai cita-cita politik rakus mereka. Politik kotor ini terpaksa dihadapi oleh pimpinan Pakatan di negeri itu.

Sebagai catatan, Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor adalah Datuk Seri Najib Razak yang juga Presiden UMNO merangkap Perdana Menteri manakala Timbalan Pengerusi Perhubungan adalah Datuk Seri Noh Omar, yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani.

Di kalangan orang UMNO Selangor, mereka sedar Noh adalah musuh dan saingan politik Khir Toyo.

Hancur budaya demokrasi

Jika UMNO benar-benar mahu mendukung aspirasi rakyat, mengapa perlu mereka merencana politik jahat dan kotor sebegini? Mengapa takut untuk bertanding atas level playing field seperti dalam mana-mana pertandingan dan sukan secara adil, bersih sihat dan berakhlak?

Bukankah baik mereka mengikut jejak langkah budaya politik baru yang sedang diamalkan oleh dalam Pakatan Rakyat dengan melakukan kebajikan dan membantu rakyat?

Kumpulan-kumpulan UMNO ini juga boleh mengemukakan manifesto sebagai tawaran menarik kepada rakyat. Dekati rakyat dengan ikhlas. Tidak perlu rencana dan konspirasi hitam. Itu budaya kongsi gelap.

Dan kemudian, bila datang pilihan raya, UMNO dan BN bertandinglah di mana-mana mereka inginkan. Bertandinglah dengan berhemah, jaga etika ketika berkempen. Jangan rasuah pengundi. Jangan perkudakan kakitangan kerajaan semasa berkempen. Jangan jadikan media sebagai alat perkakas UMNO-BN.

Masa itu rakyat akan adili UMNO dengan seadil-adilnya, sebagaimana rakyat akan mengadili Pakatan Rakyat. Bukankah ini asas dan amalan demokrasi yang kita idam-idamkan?

Mengapa perlu berkonsprirasi menggunakan jentera dan organisasi kerajaan hingga sanggup mengorbankan rakan mereka seperti Khir Toyo? Biarlah mahkamah yang menentukan kedudukan Dr Khir; ia bukan kerja UMNO untuk menyumbat sesiapa ke dalam penjara.

Tidak perlulah UMNO menggunakan agama dan ras bangsa untuk melaga-lagakan rakyat, mengadu domba DAP dengan PAS, memfitnah DAP supaya dibenci orang Melayu, mencucuk PAS, PKR dan DAP untuk menimbul kegelisahan rakyat.

UMNO semakin tak relevan

Orang Melayu zaman dulu menyokong UMNO kerana ia adalah wadah perjuangan bangsa. Kini sokongan itu semata-mata kerana mahukan sesuatu.

Sebab itulah semakin ramai orang Melayu sudah condong kepada PAS dan PKR, malah DAP juga mula mendapat tempat di hati Melayu. Ini amat membimbangkan UMNO.

Seperti yang dikatakan oleh Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu, semakin ramai Melayu menyertai DAP, semakin gelisah UMNO kerana perkembangan itu bakal menghakis politik perkauman di negara ini.

Politik gelap dan kotor ini sudah tidak relevan lagi, seperti mana UMNO yang juga menjadi semakin tidak relevan. Taktik kotor tidak akan menarik minat rakyat untuk menyokong mana-mana parti. Malah semua ini akan merosakkan demokrasi dan nilai kemanusiaan.

Seperti kata Dr Khir, sekali pun dakwaan beliau, tentang tiga Menteri yang mahu menyumbat beliau ke dalam penjara, tidak ada bukti sahih tetapi melihat pada perkembangan mutakhir ini, tidak ada apa yang mengejutkan lagi tentang usaha jahat segelintir juak-juak UMNO untuk merampas Selangor yang dipimpin oleh Pakatan.

Sekali pun benar golongan pemimpin UMNO itu sanggup mengorbankan Khir Toyo semata-mata sebagai jaminan untuk mereka merampas Selangor, nyata sudah UMNO sebenarnya memang sebuah parti yang sudah dikorupkan oleh segelintir elit mereka.

Tidak ada apa yang mengejutkan juga jika ahli-ahli akar umbi UMNO sendiri yang akan mengundi untuk memilih calon-calon Pakatan Rakyat dalam PRU akan datang.

Ahli-ahli akar umbi UMNO lebih matang dan cerdik daripada sesetengah elit pimpinan parti mereka sendiri. Tentu mereka tidak rela melihat keharmonian dan muhibbah antara kaum dan agama dihancurkan oleh segelintir pemimpin yang gila kuasa. – Roketkini.com

Read more: http://biaqpila.blogspot.com/2011/08/umno-terdesak-hingga-tersedak.html#ixzz1W7O3tblq

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.