Tuesday, May 24, 2011

Pengakuan Eskay : Hubungan dengan Mahathir dan kumpulan pemisah Thai ??

NAKA - Ahli Perniagaan, Datuk Shazryl Eskay Abdullah mengaku hampir 90 peratus maklumat yang didedahkan dalam laman Wikileaks adalah benar namun menyifatkan laporan itu sebagai tidak lengkap.

Menurutnya, pendedahan Wikileaks adalah berdasarkan satu salinan kertas cadangan berhubung perdamaian di Selatan Thailand, yang diserahkannya kepada pegawai kedutaan Amerika Syarikat, Mark D Clark, pada 5 Februari 2006.

“Kebanyakan informasi yang didedahkan menerusi laman itu adalah betul, hampir 90 peratus betul, saya tidak nafikan yang saya terlibat secara langsung dengan kumpulan pemisah Selatan Thailand, malah sejak dilantik sebagai Konsul Kehormat Thailand di Langkawi pada 2004, saya didatangi banyak kumpulan dari Thailand yang mengalami pelbagai masalah.

“Bagaimanapun, laporan itu tidak lengkap, bukan salah Mark, cuma dia datang sebelum kertas cadangan sebenar dimeterai antara wakil Malaysia dan Thailand pada 14 Februari 2006,” katanya pada sidang media, di rumahnya, semalam.

Shazryl Eskay berkata, tujuan pertemuan yang diadakan dengan kumpulan itu adalah bagi mencari jalan penyelesaian di Selatan Thailand dan pada 2006, beliau dan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bertemu dengan Raja Thailand ketika itu, dan Tun Mahathir diminta menjadi mediator untuk Selatan Thailand.

“Langkawi Peace Talk ditubuhkan dan perbincangan turut melibatkan kumpulan peringkat bawah dan juga pemimpin atasan kumpulan pemisah terbabit, dan hasil dialog bersama mereka, kita menghasilkan pelan perdamaian yang yang dimeterai pada 14 Februari 2006 dan dihantar melalui Tun kepada Perdana Menteri Thailand ketika itu, Thaksin Shinawatra.

“Kerajaan Thailand juga telah banyak melaksanakan permintaan kumpulan terbabit menerusi kertas cadangan itu dan ia jelas menunjukkan Kerajaan Thailand berusaha mencari jalan penyelesaian,” katanya.SH

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.