Kami, Menteri Besar dan Ketua Menteri Negeri Pakatan Rakyat yang menyertai Persidangan Menteri Besar/Ketua Menteri pada hari ini, 29 November 2010 di Shah Alam, Selangor, telah memberi perhatian dan mengambil persetujuan atas semua pembentangan yang meliputi aspek ekonomi, sosial, politik dan pentadbiran.
Hasrat
Setelah mengambil kira hasrat pihak kami yang membentang dan menerima hasil perbincangan peserta persidangan yang begitu mendalam, bernas dan konstruktif berasaskan perkongsian pengalaman semua peserta, dengan ini kami menegaskan:
- Untuk terus memimpin kerajaan negeri dan bertekad bagi memenuhi keperluan, keinginan dan harapan rakyat;
- Untuk mempraktikkan prinsip-prinsip pentadbiran yang terbuka, mengutama nilai-nilai berteraskan agama dan norma-norma yang disepakati bagi menzahirkan ketelusan, akauntabiliti dan tadbir urus cemerlang;
- Untuk menentang dan membebaskan amalan rasuah dan salah urus dana awam serta memastikan pengurusan kewangan yang berhemat menurut prinsip integriti;
- Untuk mengamalkan falsafah ekonomi yang adil dan saksama untuk semua lapisan rakyat, mengutamakan golongan miskin dan terpinggir ke arah mewujudkan masyarakat madani; dan
- Untuk memastikan sumber kekayaan negeri diurus secara beramanah, lestari dan mengutamakan kesetabilan berterusan.
Kami, dengan ini berjanji di atas prinsip kesepakatan:
- Membentuk sebuah pakatan ekonomi antara Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat;
- Menyediakan persekitaran mesra pelaburan, tidak terlalu birokrasi dan tiada karenah pentadbiran (red-tape);
- Melaksana apa-apa dasar pembangunan yang boleh disepakati bersama terutama dalam bidang sosial, ekonomi dan politik;
- Meneruskan penambah-baikan pengurusan dan pentadbiran, sama ada secara rasmi atau tidak rasmi menerusi penglibatan pemimpin, pembuat dasar dan pegawai-pegawai antara Negeri Pakatan Rakyat; dan
- Memastikan amalan persefahaman dan kelunakan hubungan antara politicians dan pentadbir ke arah memantapkan hubungan kepimpinan parti dengan kerajaan negeri.
Kami selanjutnya komited untuk “meneruskan cita-cita rakyat” berpandukan satu set dasar awam dan agenda bertindak:
- Mengurangkan peningkatan kos hidup khususnya kepada golongan masyarakat berpendapatan rendah;
- Mengiktiraf hak rakyat menerima maklumat, dengan cara menggubal Enakmen Kebebasan Maklumat;
- Mengiktiraf kepentingan untuk menangkis serangan media BN, dengan menubuh satu badan yang dilengkapi infrastruktur media yang boleh berkongsi berita antara Negeri Pakatan Rakyat;
- Mengiktiraf hak rakyat untuk pemilikan tanah, dengan mempercepat proses pemberian hak milik tanah kepada yang layak;
- Mengiktiraf hak rakyat menikmati prasarana sempurna demi keselesaan hidup, dengan cara meningkatkan kecekapan perkhidmatan Pihak Berkuasa Tempatan dan mana-mana agensi di bawah Kerajaan Negeri;
- Memberi keutamaan kepada projek perumahan rakyat dengan peruntukan kewangan yang munasabah, menerusi penubuhan task-force perumahan di peringkat Negeri dan Daerah;
- Menjamin ‘security’ makanan negeri, dengan cara amalan sistem pengagihan bantuan dan pengeluaran standard membantu nelayan, petani, dan penternak.
- Memastikan pelaburan berlaku dalam projek-projek ekonomi, dengan cara Negeri Selangor menyediakan dana pemula (seed money) sebanyak RM10 juta dalam “dana kelab” (club deal) bagi membantu Negeri-negeri Pakatan Rakyat yang lain;
- Mengiktiraf hak rakyat menggunakan kebebasan memilih, dengan mengusahakan pilihan raya kerajaan tempatan menjadi kenyataan;
- Mencipta persekitaran yang berterusan dan didiami melalui persekitaran selamat, bersih, dan hijau.
Namun demikian, kami percaya dengan memiliki kepemimpinan yang baik dari segi visi dan arah tuju dalam mentadbir negeri, maka kami bersepakat untuk mewujudkan penyelarasan pelaksanaan dan perkongsian pengalaman serta pewujudan jawatankuasa bersama demi pembangunan negeri dan kemajuan rakyat.
Justeru siri forum berkala melibatkan exco dan pegawai masing-masing negeri akan dilaksanakan bagi meningkatkan komitmen ke arah meneruskan cita-cita Pakatan Rakyat, demi memenuhi keperluan, keinginan dan harapan rakyat.
Adalah kami Menteri Besar/Ketua Menteri Negeri Pakatan Rakyat menerima resolusi ini untuk dilaksanakan.
YAB Tan Sri Abdul Khaled Ibrahim,
Menteri Besar Selangor
YAB Tuan Guru Dato Bentara Setia Nik Abdul Aziz bin Nik Mat
Menteri Besar Kelantan
YAB Tuan Lim Guan Eng
Ketua Menteri Pulau Pinang
YAB Dato Seri Azizan Abdul Razak
Menteri Besar Kedah
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.