Wednesday, September 29, 2010

Senapang Buatan Sendiri Dijual Dengan Hanya RM300 ??


Dua Lelaki "Pembuat Senapang" Ditahan Polis

KUALA PILAH: Dua lelaki bersaudara pakar membuat senapang dan seorang pelanggan mereka ditahan polis dalam satu serbuan di sebuah rumah di Kampung Sungkak kira-kira pada pukul 2 pagi semalam.

Enam pucuk senapang yang dirampas polis itu diledakkan oleh letusan angin dan menggunakan bebola besi sebagai peluru.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah Supritendan Jaafar Baba berkata, pada awalnya polis menyerbu mereka disebabkan terdapat maklumat tentang dadah dan ketika dikepung, suspek berada dalam keadaan khayal dan mereka turut menjumpai dua bungkus dadah jenis syabu.

"Suspek berusia 37 dan 28 tahun. Suspek membuat senapang angin itu dengan bahan terpakai dan menjual senjata itu dengan harga RM300 selaras," katanya kepada pemberita di pejabatnya hari ini.

Selepas disoal siasat, polis menahan seorang lagi lelaki berusia 33 tahun dari Kampung Sungai Dua Kecil pada pukul 4.30 petang hari yang sama yang dipercayai telah membeli senapang itu daripada mereka, katanya.

"Kita dapati kesemua suspek gagal ujian air kencing dan positif dadah, salah seorang dari mereka juga mempunyai rekod jenayah," katanya.

Mereka semua akan didakwa di bawah Seksyen 36 (1) Akta Senjata Api 1960 di mana jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak lebih setahun atau denda tidak lebih RM5,000 atau kedua-dua sekali.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak menganggap senapang angin ini seperti barang mainan kerana ia tetap membahayakan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.