Wednesday, September 29, 2010

Kenapa tak ada parti politik yang mahu kutip anda jadi calon pilihan raya?


5 Soalan Panas: Tak ada parti nak kutip jadi calon?

Detikdaily

Perjuangannya hebat dalam membela mangsa ISA, dan para penghuni estet atas nama hak asasi manusia. Pahit getir dihadapi tanpa rasa jemu, sekalipun terpaksa berdepan dengan polis dan maki-hamun pihak tertentu. Risikonya tinggi berbanding nikmat yang diperolehi. Wartawan ANIS NAZRI menujah 5 Soalan Panas kepada Nalini Emalai, pengiat NGO Jerit, GMI dan Suara

1. Anda begitu aktif dengan beberapa NGO. Apa yang anda dapat?

Penglibatan dalam beberapa NGO yang penting di Malaysia ini, kerana ia membuka minda saya kepada pelbagai perkara dan saya rasa tidak ramai yang akan dapat peluang sebegini. Apa yang saya dapat adalah pengalaman yang tidak boleh diukur, dan dari sini saya gembira dan saya berbangga kerana dapat berkhidmat untuk rakyat dan kerja keras bagi mencapai perubahan.

2. Anda juga bergerak atas nama Suaram, GMI, dan Jerit. Cari glamor atau seronok-seronok saja?

Saya cuba terlibat dalam satu gerakan rakyat. Saya anggap organisasi-organisasi di atas adalah organisasi yang mendekatkan diri kepada rakyat dan memperjuangkan pelbagai isu yang melibatkan rakyat.

Itu yang penting. Jerit satu gerakan untuk masyarakt tertindas seperti pekerja, pekerja ladang dan orang miskin. Suaram pula bagi perjuangkan hak asasi setiap manusia, bukan sahaja di Malaysia tetapi setiap manusia di dunia

Apabila orang kata Saddam Hussein perlu dihukum gantung, kita sebagai organisasi hak asasi akan kata setiap manusia ada hak untuk hidup dan dibicarakan.

Bukankah ini sesuatu yang berbeza dan lebih kepada perikemanusiaan? Manakala dalam GMI untuk memansuhkan ISA. Sesiapa pun boleh ditahan di bawah akta ini.

Bukankah akta ini harus pergi dari bumi Malaysia sebelum ia menghancurkan kehidupan generasi akan datang? Ini yang membuatkan saya pilih untuk berada dalam organisasi ini. Cari glamor... (terdiam seketika) itu bukan niat saya.

Sekiranya saya dikenali ramai itu adalah kesan daripada kerja-kerja saya lakukan bersama komrad-komrad saya untuk memastikan satu perubahan dari segi sistem di Malaysia. Saya inginkan perubahan dan saya mahu rakyat Malaysia hidup dalam keadaan adil dan saksama.

3. Kebanyakan NGO yang disertai anda lebih kepada 'human rights'. Tapi sayangnya nampak macam tidak mendatangkan hasil. Tahap 'human rights' masih di tahap sama, ISA tidak mansuh-mansuh. Tak berkesan?

Saya setuju bahawa pendedahan dan kesedaran rakyat tentang hak asasi belum menyeluruh. Tapi kerja-kerja untuk menyedarkan rakyat sentiasa dilakukan. Kita kekurangan orang untuk melakukan kerja-kerja ini.

Orang yang sedar dan tahu tentang perkara ini tidak mahu turut serta dalam proses kesedaran ini.

Itu yang melambatkan proses perubahan ini. Hasilnya mungkin bukan banyak tetapi kita harus ingat bahawa, setiap rakyat yang turun menentang ISA pada 2009 adalah hasil daripada kerja kesedaran yang dilakukan sejak 20 tahun.

Kami percaya rakyat sekiranya dididik dengan konsisten maka perubahan boleh dicapai. Kita tidak mahu perubahan dicapai dengan cara segelintir sahaja yang faham tetapi kita mahukan penyertaan setiap masyarakat dalam proses ini. Ia hanya boleh dicapai jika kita mempunyai ramai orang untuk membantu. Proses perubahan ini mesti akan mengambil masa tapi ia harus diteruskan.

4. Berjuang atas nama hak asasi selalunya berdepan dgn risiko. Kena tangkap, kena belasah. Tidakkah semua itu menyusahkan diri, kawan-kawan dan keluarga?

Saya percaya bahawa hanya dengan pengorbanan, perjuangan itu akan sukses. Maka saya bersedia untuk berkorban demi masa depan generasi sekarang dan akan datang.

5. Anda hebat dan glamor. Kenapa tak ada parti politik yang mahu kutip anda jadi calon pilihan raya?

Kerja yang saya buat adalah kerja politik. Ia membantu saya mendekatkan diri dengan pelbagai lapisan masyarakat. Bagi saya ia masih boleh dilakukan walaupun tanpa perlu bertanding dalam pilihan raya ataupun bertanding atas nama parti.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.