Sunday, September 12, 2010

LAPURAN FORUM EKONOMI DUNIA - "Malaysia Terus Jatuh Ke Tempat 26 Indeks Daya Saing Sedunia ?"


Kroni Perlu Dikorban, Jika Mahu Pulih Ekonomi

Keghairahan Umno-BN menghabiskan wang rakyat pada kempen berslogan dan projek tidak bermanfaat, dan meminggirkan soal melaksanakan dasar-dasar yang efektif punca Malaysia corot dalam indeks daya saing dan rasuah.

Tahun demi tahun, Malaysia gagal mendapat tempat di kumpulan teratas indeks antarabangsa. Yang terbaru, Forum Ekonomi Dunia melaporkan Malaysia terus jatuh dari tahun ke tahun, dari tempat ke 21 ke 26, dalam Indeks Daya Saing sedunia.

Ketua Pembangkang Dato Seri Anwar Ibrahim berkata Umno-BN perlu mengorbankan kroni-kroni bagi memulihkan imej dan ekonomi negara di persada antarabangsa.

Beliau menggesa Kerajaan Pusat supaya meneliti saranan Forum Ekonomi Dunia yang menggesa Malaysia mengambil langkah drastik untuk memulihkan kebebasan badan kehakiman dan institusi awam bagi menghentikan kecorotan prestasi negara dari tahun ke tahun.

Anwar menjelaskan ekonomi Malaysia akan terus tempang, dan rakyat akan terus tertekan, jika Perdana Menteri Najib Abdul Razak terus melindungi kroni-kroni Umno-BN yang selama ini mendorong pemerintah untuk mencabul sistem politik, ekonomi dan undang-undang.

Sistem kehakiman yang benar-benar bebas dan tidak memihak kepada kekuasaan adalah ciri-ciri utama yang meletakkan negara seperti Switzerland mengungguli carta 10 ekonomi terbaik di dunia.

Najib digesa merenung keresahan rakyat dan pelabur apabila rasuah dan penyelewengan kuasa semakin membudaya lalu membawa kerosakan yang bukan kepalang.

"Perdana Menteri silih berganti, janji demi janji tapi tidak diperkota. Lihat sahaja isu pembubaran dan pembatalan ISA sampai sekarang tidak terjadi, rasuah masih lagi meluas, digunakan penswastaan 1 Malaysia termasuk kes Sungai Besi diberikan kepada kroni yang melibatkan projek berbilion ringgit yang tidak diberikan secara telus" jelas Anwar

Laporan Daya Saing 2010-2011 Forum Ekonomi Dunia yang dikeluarkan baru-baru ini membuktikan gagasan Dato Seri Najib dalam membangunkan Negara tidak membuahkan hasil malah membebankan rakyat.

Beliau berkata, kerajaan persekutuan hanya mengejar slogan dan pencapaian astetik 1 Malaysia, tanpa perlaksanaan dasar-dasar wajar.

Berhadapan dengan kedudukan ekonomi sebegini, ternyata generasi akan datang terpaksa jua menanggung permasalahan yang diakibatkan oleh ketirisan seperti rasuah, kelemahan pengurusan serta tamak membolot khazanah negara.

"Bila ditanya, mereka kaitkan pula dengan soal Melayu dan Bumiputera. Melayu mana dan Bumiputera mana yang dapat keuntungan? Hanya Melayu keluarga dan Bumiputera kroni. Kita pertahan majoriti yang miskin dan kelompok india, Cina, Kadazan, iban dan Dayak yang terpinggir. Ini mesti juga diberi perhatian. Ini negera kita dan kita berhak pertahankan hak kita," tambah Anwar

Sumber berita : TV Selangor.com

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.