Saturday, July 3, 2010

Kerajaan Negeri Mahu Jadikan Hari Sabtu Sebagai Hari Ilmu- Dr Hassan



Pakatan Rakyat di negeri Selangor bukan saja gigih menerapkan nilai ketelusan dalam pentadbirannya bahkan agresif menyemarakkan penghayatan agama Islam dikalangan rakyat negeri ini.

Exco Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Datuk Dr Hassan Ali berkata program-program keagamaan semakin rancak di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat berbanding sebelum ini, dan beliau terharu ia mendapat sambutan yang amat mengalakkan dari penduduk.

Dr Hassan Ali hari ini merasmikan Program Menyemarakkan Islam Di Selangor atau PROMISE yang mana akan diadakan setiap hari Sabtu bermula jam 9.15 pagi sehingga 11.30 pagi di Ruang Legar Muzium Sultan Alam Shah, Shah Alam.

“Diselangor sekarang ini masjid hidup, surau hidup, musolla hidup. Sebagai contoh dikawasan saya Gombak setia, di Masjid Khairiah, orang yang belajar tajuid hanya 6 orang sahaja. Tapi sekarang ini dengan suasana baru, tidak kurang 11 kumpulan yang terdiri dari 15 orang hendak belajar bacaan Al- Quran. Sampai tidak cukup ustaz pula. Itu tak masuk lagi kelas fardu ain, tidak masuk lagi kelas remaja. Tidak masuk lagi kelas wanita berkerjaya," kata Dr Hassan.

Beliau juga menjadikan masjid negeri, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah sebagai contoh institusi agama yang konsisten mengadakan program agama.

“Di masjid negeri, hari- hari orang keluar masuk sebab ada banyak program yang berjalan setiap hari,” ujarnya.

Dr Hassan yang juga ADUN Gombak Setia berkata program PROMISE ini sengaja diadakan di Ruang Legar Muzium Sultan Alam Shah kerana ingin mewujudkan suasana santai.

“Disebelah kanan ruang legar ini ada PADAT yang dulu kita panggil muzium negeri. Sebelah kiri pula ada perpustakaan. Saya harap kita ajar anak- anak dan isteri kita berjinak dengan perpustakaan. Sebab itu kita pilih tempat ini,” katanya lagi.

“PROMISE ini dibuat cara santaian. Boleh bawa anak. Hendak pakai jeans pun boleh. Tapi tidak bolehlah pakai skit pendek. Boleh bawak tikar dan bentang dan makan ramai- ramai satu keluarga. dengan syarat jangan buat sampah," katanya lagi.

Program PROMISE dijadualkan berjalan seperti biasa walaupun pada bulan Ramadhan.

Kerajaan negeri mensasarkan sekitar 10 ribu pengunjung akan datang menyertai program ini.

“Bila ini berlaku apa yang kami akan buat, tiap- tiap 9 daerah dinegeri Selangor akan ada program PROMISE masing- masing. Kita mahu jadikan hari Sabtu sebagai hari ilmu, hari keluarga dan hari santai," tambahnya lagi.

1 comment:

  1. Baguih! Baguih! Walaupun agak terlambat jika nak dibandingkan dengan Kelantan ketika ambil alih pemerintahan dulu...

    Teruskan perbanyakkan programe ilmu agama Islam

    ReplyDelete

Note: Only a member of this blog may post a comment.