Saturday, February 20, 2010

Siasatan Kes Pegawai Khas PM Buat Kenyataan Berbaur Perkauman Selesai

Polis telah melengkapkan siasatan berhubung aduan tehadap bekas pegawai khas Perdana Menteri, Datuk Nasir Safar, yang didakwa membuat kenyataan berbaur perkauman pada satu seminar di Ayer Keroh awal bulan ini.


Ketua Polis Melaka Datuk Mohd Rodwan Mohd Yusof berkata kertas siasatan itu telah diserahkan kepada pejabat Pendakwa Raya.


Bercakap kepada pemberita selepas pada majlis penutupan Kursus Asas Motosikal Berat di Ibu Pejabat Kontinjen Polis Melaka di sini hari ini, beliau berkata polis telah merakamkan percakapan Nasir selama dua jam di Putrajaya pada minggu lepas.


Siasatan kes mengikut Akta Hasutan 1948 dan polis telah mengambil keterangan 49 saksi termasuk peserta kursus dan enam wartawan tempatan.


Sebanyak 58 laporan polis telah dibuat di seluruh negara berhubung ucapan Nasir pada Seminar 1Malaysia di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka.-Bernama

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.