Followers

Friday, January 4, 2013

Lengahkan Pendaftaran Pakatan Rakyat: Pendaftar RoS Perlu Didakwa Di Mahkamah


Status Pakatan: RoS diam diri, dakwa Saifuddin

Meskipun tempoh yang ada sebelum Dewan Rakyat dibubarkan sudah begitu hampir, Pakatan Rakyat (PR) yang sudah pun membuat permohonan mendaftarkan gabungan itu sebagai sebuah entiti yang sah masih belum mendapat sebarang maklum balas daripada Pendaftar Pertubuhan (RoS).

Menurut Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail, sehingga ke saat ini, usaha permohonan gabungan itu belum menampakkan hasil.

"Kita sudah masukkan pendaftaran baru di mana Jawatankuasa Penaja Pakatan Rakyat dipengerusikan Datuk Kamarudin Jaffar.

"(Tetapi) sampai saat ini, kita tidak pernah mendengar apa-apa jawapan balas," ujar beliau pada sidang mingguan PKR, di sini, hari ini.

Meskipun begitu, katanya, Pakatan tidak akan mengambil langkah untuk menekan RoS dalam hal ini meskipun wujud kes-kes tertentu di mana begitu mudah sesebuah pertubuhan itu diluluskan pendaftarannya.

"Pakatan Rakyat tidak akan ambil tindakan untuk menekan.

"Dalam hal ini, agensi kerajaan yang bertanggungjawab yang mengambil sikap diam diri. Apa yang penting, hasrat kita telah dilaksanakan," ujar Saifuddin lagi.

Sebelum ini, RoS telah menolak permohonan pendaftaran kerana Datuk Zaid Ibrahim yang bertindak sebagai pengerusi jawatankuasa tersebut telah keluar dari PR.

Saifuddin sebelum ini dipetik sebagai berkata, perkara membabitkan pendaftaran berkenaan telah dibincangkan pada Majlis Presiden dan telah membuat ketetapan jika penolakan berlaku ke atas permohonan dibuat oleh Jawatankuasa Penaja baru yang diketuai Kamarudin yang turut diwakili oleh wakil-wakil parti, maka permohonan baru akan dikemukakan.

"Permohonan baru ini akan memasukkan nama-nama besar dalam Pakatan Rakyat iaitu pemimpin-pemimpin utama seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mahupun Lim Kit Siang," ujar beliau.

Ulasan GB

Melambat-lambatkan pendaftaran Pakatan Rakyat adalah strategi jahat yang digunakan oleh RoS supaya Pakatan Rakyat tidak dapat menggunakan nama parti itu untuk bertanding di dalam pilihanraya.

Sudah bertahun permohonan pendaftaran Pakatan Rakyat dikemukakan untuk kelulusan tetapi ROS mengemukakan pelbagai alasan dan helah untuk melambat-lambat proses pendaftarannya.

ROS, salah satu agensi yang diperalatkan selain dari SPR, SPRM, PDRM dan lain-lain yang digunakan UMNO BN untuk menekan dan menzalimi PR agar tidak berkesemapatan untuk menggunakan satu nama dan lambang di dalam pilihanraya yang akan datang.

Pakatan Rakyat PERLU mengheret RoS ke muka pengadilan dan pihak pendaftar RoS perlu dihukum oleh mahkamah kerana strategi jahatnya itu yang bertindak secara diskriminasi dan pilih kasih.



 

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.