Thursday, November 29, 2012

Rosmah makin kembang, Aspan Alias puji dia jelita... kahkahkah...

Banyak istighfar dengar ucapan pemimpin Umno

Saya baru sahaja selesai mendengar bahagian akhir ucapan Muhyiddin Yassin dalam upacara perasmian Perhimpunan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO di Dewan Merdeka PWTC.

Dewan yang penuh sesak itu tidak pula menampakkan kehadiran yang ramai di luar dewan. Ucapan Muhyiddin terganggu sekejap kerana kesampaian Wanita nombor satu negara, Rosmah Mansor, bagi memberikan penghormatan kepada isteri Perdana Menteri yang jelita itu.

Pada keseluruhan ucapan itu, ia tidak ada apa-apa perbezaan dan kelainan dari ucapan-ucapan pada tahun-tahun yang lalu. 
 
 
Hanya yang kita dapati perbezaannya ialah ucapan yang menumpukan hentakan terhadap Ketua Pembangkang Anwar dan mengejek-ngejek PAS dan DAP.
Itu sememangnya biasa kerana kalau tidak melakukan hentakan kuat terhadap pembangkang ia bukanlah ucapan Muhyiddin atau pun Najib. Kalau tidak menghina pimpinan pembangkang mereka bukannya Najib atau Muhyiddin. Tetapi itu tidak mengapa. 
 
 
Dalam politik masa kini janganlah kita harapkan mereka hendak mengakui kebaikan yang telah dilakukan oleh PR dalam negeri-negeri yang ditadbir oleh pihak Pakatan Rakyat itu.
Apa yang amat mengaibkan sebagai pemimpin parti yang sudah matang dan berusia, ucapan itu dihamburkan kata-kata seolah-olah usaha Pakatan Rakyat untuk mendapatkan mandat itu adalah sebagai usaha jenayah dan seolah-olah pembangkang itu dipenuhi oleh binatang haiwan yang liar dan tidak langsung wajar hidup dan bernyawa di dunia ini. 
 
 
Muhyiddin telah menghina dan memberikan segala keburukan kepada pembangkang sedangkan ucapan itu diselang dan selikan dengan bacaan ayat-ayat suci al-Quran dan hadith-hadith Nabi yang sohih.
Pembangkang dikatakan oleh Muhyiddin sebagai penentang agama, bangsa dan negara dan rakyat perlu untuk memberikan UMNO sekali lagi untuk mentadbir negara ini setelah mentadbir sejak negara mencapai kemerdekaan. 
 
 
Bagi Muhyiddin yang menjaga agama hanyalah UMNO tetapi Muhyiddin tidak pula menyebut bahawa rasuah yang sedang dilakukan oleh pimpinan BN khususnya UMNO, sekarang ini merupakan tentangan secara ‘head-on’ dengan kehendak agama dan negara.
Muhyiddin sepatutnya menyeru ahli-ahli dan pimpinan UMNO supaya hentikan rasuah kerana rasuah itu lebih buruk dari membunuh dan disamakan sebagai orang yang memakan daging saudaranya sendiri oleh agama kita. 
 
Rasuah adalah perbuatan yang sehina-hinanya, malah rasuah merupakan penyebab utama kejatuhan sesebuah kerajaan dan tamaddun manusia.
Ancaman Muhyiddin terhadap pemimpin-pemimpin pembangkang itu menunjukkan yang UMNO begitu ‘desperate’ untuk terus berkuasa dan menganggap sesiapa yang mencuba untuk mengambilalih kuasa itu adalah kumpulan yang beliau anggap seperti binatang dan haiwan ternakan semata-mata.
 
Sedangkan parti-parti pembangkang itu adalah parti yang halal dan mempunyai hak untuk mencuba membetulkan apa yang telah di lakukan oleh BN sejak mentadbir negara secara terus-terusan selama ini.
Muhyiddin menuduh PR tidak mengotakan janji-janjinya kepada rakyat tetapi Muhyiddin tidak sedar janji-janji UMNO sejak mencapai kemerdekaan 55 tahun dahulu masih belum tercapai. 
 
UMNO masih gagal untuk meletakkan Melayu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan bangsa bukan Melayu tetapi Muhyiddin tidak malu-malu menuduh PR tidak melaksanakan janji-janjinya.
Kalau lah UMNO telah melaksanakan janji-janjinya selama ini, masakan orang melayu masih ketinggalan dalam serba serbi. 
 
Jika UMNO telah berjaya sebagai parti pemerintah masakan orang melayu masih diharapkan bersandar kepada UMNO untuk mendapatkan sesuap nasi setiap hari. 
 
Malahan anak-anak pemimpin besar negara seperti anak-anak Dr Mahathir masih bersandar dan menggunakan UMNO sebagai modal perniagaan sehingga menjadi ‘billionaire’ dan menjadi salah satu keluarga yang terkaya di dalam negara ini.
Jika UMNO benar-benar berjaya masakan Mirzan Mahathir mengambil hampir RM2 billion wang rakyat untuk menyelesaikan kegagalan perniagaannya. 
 
Tetapi Mahathir semasa berkuasa memandang hina kepada bangsanya sendiri kerana terlalu lazim menggunakan tongkat. 
 
Dr Mahathir meminta orang Melayu supaya berdiri dengan kepandaian sendiri dan membuang tongkat yang di sebut di dalam perlembagaan negara itu. 
 
Tetapi kenapa anak-anaknya sendiri menggunakan kuasa dan pengaruh UMNO untuk menjadi kaya raya.
Itulah sebabnya kadang-kadang saya sendiri tidak dapat mengawal emosi saya kerana apa yang diseru oleh Mahathir dan pimpinan selepas beliau itu semuanya menggunakan tongkat iaitu UMNO. Muhyiddin tidak menyebut ini semua. 
 
Sebab apa? Kerana beliau tidak malu seolah-olah rakyat boleh dikotak-katikkan dengan seruan dan ucapan yang beremosi itu.
Muhyiddin seperti Najib juga. Beliau seolah-olah akan menjadi gila jika pembangkang mendapat kuasa dalam PRU ini. Bagi mereka-mereka ini hilang kuasa serupa seperti memasuki neraka sedangkan peralihan kuasa bergilir-gilir itu adalah mainan negara yang demokrasi. 
 
 
Apa yang Muhyiddin sebutkan dalam ucapan itu hanya menandakan sikap dan sifat UMNO yang tidak memahami yang demokrasi ini adalah pusaka bergilir dan bukannya hak kekal UMNO dan BN.
Bagi pimpinan UMNO jika kalah BN ia seperti dunia akan kiamat. Tetapi rakyat sudah memahami hakikat bahawa ada kehidupan selepas UMNO. 
 
Momokan yang 'tiada UMNO tiada Melayu' itu hanya terpakai semasa rakyat belum berfikir dan tidak nampak yang ‘there is life after UMNO’. 
 
Malahan ia adalah kehidupan yang lebih baik kerana pihak PR akan membina rakyat yang berfikir.
Rakyat yang berfikir sekarang ini faham yang Najib atau UMNO bukan untuk menyatukan orang Melayu tetapi untuk menjadikan Melayu sebagai bangsa yang ‘subservient’ kepada UMNO. 
 
Penyatuan Melayu kepada UMNO ialah apabila orang melayu hanya tunduk dan menyembah UMNO dan tidak yang lain. 
 
Bagi Najib beliau mahukan rakyat menafikan segala-galanya melainkan UMNO, sama seperti orang mukmin yang sebenar-benarnya menafikan segala-galanya melainkan Allah swt. 
 
Pemimpin UMNO seolah-olah mahukan orang melayu Islam hanya menzuhudkan UMNO bukannya yang lain-lain.
Bagi pemimpin-pemimpin UMNO seperti Muhyiddin UMNO itu adalah parti yang akan memisahkan semua umat yang bangkit di yaumil mahsyar nanti dengan ahli-ahli UMNO kerana hanya ahli-ahli UMNO itu sahaja yang akan memasukki syurga Allah.

Sepatutnya Muhyddin bercakap tentang permasalahan dalaman yang sedang dihadapi oleh UMNO sekarang ini dalam mana beliau merupakan agen yang memecah belahkan UMNO sekarang. 
 
Ramai yang tidak mempercayai keadaan ini, tetapi tunggu sahaja lah apabila calon-calon UMNO diumumkan dalam PRU nanti. Keadaan dan masa akan membuktikannya.
Hanya satu yang perlu kita sedar apabila mendengar ucapan Timbalan Presiden UMNO itu: UMNO begitu gentar dengan Pakatan Rakyat dan kita juga melihat dengan mata hati yang UMNO sendiri sedang berpecah di setiap peringkat.

Bagi pihak Pakatan Rakyat, apa yang perlu dilakukan sekarang hanya beristighfar banyak-banyak semasa menghadapi serangan iblis dan syaitan yang tidak mahu kita bersatu dan berpadu di luar UMNO dan BN ini. -  
 
 
 
Shalehudin

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.