Followers

Thursday, October 28, 2010

Hab Hiburan: Najib Harus Dukung Perlembagaan Negara ?


KUALA LUMPUR 28 OKT: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebagai pendukung perlembagaan negara Malaysia harus mengutarakan idea mencerminkan kebudayaan serta ketamadunan Islam yang diamalkan di negara ini dan bukan persembahan hiburan berunsur barat.

Demikian ulas Ahli Parlimen Parit Buntar, Dr Mujahid Yusof Rawa yang ditemubual TV Selangor menyifatkan Najib memperlekehkan nama Islam selain memandang sebelah mata sensitiviti masyarakat mengenai isu keagamaan. Beliau menambah, cadangan Perdana Menteri mewujudkan Hab Hiburan untuk menjana ekonomi adalah tidak munasabah justeru menyalurkan penghinaan kepada agama yang dianuti beliau sendiri.

"Bagi saya amat dikesalkan kerana Islam sebagai agama rasmi diberikan terjemahan yang sewenangnya. Seolah-olah kita lihat pandang sebelah mata. Malaysia ini dengan mengambil kira sensitiviti dan latar belakang Islam dia tidak sepatutnya membuat sesuatu yang mengguris hati orang Islam seperti mengistiharkan hab hiburan," kata beliau di lobi parlimen.

Tindakan Perdana Menteri mahu menjadikan Malaysia sebuah hab hiburan malam bagi memacu industri pelancongan mengikut Program Transformasi Ekonomi (ETP) mendapat bantahan pelbagai pihak.

Keuntungan dijadikan dasar utama kerajaan memacu ekonomi menjangkakan ia akan memberi pendapatan negara kasar sebanyak RM427 juta dan mewujudkan sebanyak 8,000 peluang pekerjaan justeru mengenepikan sensitiviti agama penduduk majoriti di negara ini.

Mujahid menambah, masyarakat tidak pernah menentang pembangunan sektor pelancongan dan hiburan namun ia harus berlandaskan budaya dan agama yang diamalkan masyarakat untuk memberikan persepsi baik kepada kerajaan yang dipimpin Najib.

Tambah beliau, Islam seharusnya dijadikan penanda ukur cadangan yang ingin diutarakan kerajaan agar tidak tersasar daripada landasan yang dilalui selama ini.

"Walaupun kita mahu menarik pelancong asing, apa salahnya kita perkenalkan hiburan pelancongan mengikut selera kita. Mengapa kita mahu ikut selera barat? Dekat barat mereka sudah hendak muntah. Mereka mahu lihat yang berbeza tapi kita pula mahu persembahkan apa yang mereka sudah meluat di sana," jelas beliau lagi.

(Hadri Yaziz)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.