Sunday, October 17, 2010

APA PERLUNYA MENARA 100 TINGKAT ? - Bajet 2011: Kredibiliti Kerajaan Makin Rapuh ?

Amat sukar untuk menjelaskan kepada rakyat kenapa Malaysia memerlukan satu lagi mercu setinggi 100 tingkat dengan kos RM5 bilion.

Amat sukar untuk menerangkan kepada kakitangan awam mengapa mereka cuma layak untuk menerima imbuhan RM500 manakala RM65 juta diperuntukan untuk mengubah suai kediaman Perdana Menteri dan isteri.

Dan tentunya amat sukar untuk menjelaskan kenapa kerajaan terpaksa menggunakan caruman wang pekerja KWSP untuk membeli empat lebuh raya semata- mata untuk menjanjikan tidak ada kenaikan tol untuk tempoh lima tahun akan datang.

Jika dah tahu sukar, kenapa melakukannya ? Hanya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak boleh memberikan jawapan kepada persoalan- persoalan asas ini yang merangkumi intipati bajet 2011.

Semua pihak agak terkejut kerana Bajet 2011 memberikan tumpuan kepada projek- projek mega.

Kali ini atas nama mentransformasikan Malaysia kepada sebuah negara berpendapatan tinggi.

Guru di sekolah, Ketua pengarah di jabatan kerajaan, apatah lagi nelayan dan petani tidak mungkin melihat bagaimana pembinaan bangunan pencakar langit akan menjana pendapatan tinggi untuk mereka.

Yang mereka faham DAN bimbang ialah defisit negara semakin meningkat. Rasuah, kronisme dan penyelewengan kuasa masih belum dibendung malah semakin berleluasa.

Apa yang nyata ialah keghairahan Tun Mahathir Mohamad untuk membelanjakan duit hasil negara sepanjang tempoh 22 tahun beliau memerintah, sehingga mengakibatkan hutang kerajaan semakin membesar ketika Tun Abdullah Ahmad Badawi menggantikannya pada tahun 2003.

Daripada sebuah negara yang mempunyai rekod belanjawan seimbang, Malaysia kini mengalami defisit yang paling teruk dalam sejarahnya iaitu RM408 bilion.

Jumlah hutang Kerajaan Persekutuan Umno Barisan Nasional meningkat lebih 10 peratus tahun ini berbanding tahun sebelumnya dan secara tidak langsung terpaksa ditanggung oleh rakyat.

Walaupun ketika mengambil alih tampuk pemerintahan, Najib berjanji untuk memberi tumpuan kepada mengurangkan defisit negara, supaya generasi akan datang tidak mewarisi sebuah negara yang berhutang, janji tinggal janji.

Wang hasil negara terus digunakan untuk projek- projek mega manakala aspek ketirisan, penyelewengan dan ketidak telusan dalam menganugerahkan projek- projek awam terus mewarnai pentadbiran beliau.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan kes terbaru di mana sebuah syarikat yang tidak layak namun berkait rapat dengan kepimpinan Umno diberikan kontrak pembinaan Istana Negara di Putrajaya bernilai RM811 juta.

Projek itu menimbulkan pelbagai, antara lain tidak siap mengikut jadual dan rungutan pekerja tidak dibayar gaji.

Walaupun bajet 2011 memberikan pelbagai imbuhan segera untuk golongan seperti guru agama, ketua orang asal dan jawatankuasa kampung namun jelas semuanya adalah strategi Umno-BN untuk mencari populariti dengan kumpulan sasaran tertentu apabila pilihanraya umum di panggil tidak lama lagi.

Namun disebalik sedikit imbuhan yang diberi di sana sini, Bajet 2011 meneruskan tradisi Mahathir untuk mengadakan projek mega yang menelan belanja berbilion ringgit.

Tidak ada langkah berkesan untuk menangani realiti hidup seharian iaitu pendapatan rakyat yang jelas tidak dapat menampung kos sara hidup yang semakin melambung.

Peruntukan memberi pinjaman bank seratus peratus untuk rumah berharga RM220 ribu ke bawah, umpamanya tidak mengambil kira harga rumah teres yang semakin melambung di bandar-bandar utama yang sudah jauh melebehi paras RM250,000.

Strategi untuk kembali ke era projek mega tentunya akan menguntungkan segelintir syarikat yang berkait rapat dengan Umno- BN, seperti yang berlaku pada zaman Mahathir.

Ia mungkin pendekatan yang diperlukan oleh Umno-BN untuk melanjutkan jangka hayatnya dalam tempoh jangka pendek, namun hakikat ialah lambat laun, rakyat terpaksa menanggung kos segalaketerlanjuran kerajaan akibat defisit yang semakin besar.

Dalam menggulung ucapan bajetnya di Parlimen Jumaat lalu, Najib berkata “Yakinlah, kita tidak mahu mewariskan negara yang bermasalah kepada generasi akan datang.”

Jika rekod Perdana Menteri sejak tahun lalu dijadikan pengukur atau penanda aras, keyakinan rakyat terhadap beliau semakin menipis dan Bajet 2011 hanya menzahirkan betapa rapuhnya kepercayaan itu.Oleh: Zeanaaima Mohd Yusof

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.