Followers

Wednesday, October 13, 2010

Anwar: Indonesia Contoh Jelas Reformasi Memanfaatkan Rakyat

JAKARTA 13 OKT: Penghayatan reformasi oleh rakyat dan pemerintah Indonesia membolehkan negara itu menikmati pertumbuhan ekonomi yang jauh lebih baik dari Malaysia.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata akhbar-akhbar seperti Utusan Malaysia harus menilai impak reformasi di Indonesia dan tidak menolak pembaharuan sebagai sesuatu yang menimbulkan huru-hara semata-mata.

Anwar berkata demikian dalam rangka lawatan singkat ke Jakarta untuk memulihkan hubungan Malaysia Indonesia yang tercalar dengan beberapa insiden sebelum ini.

Beliau menegaskan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan dan parlimen mempunyai peranan penting untuk sama-sama membantu memperbaiki dan mengeratkan hubungan dua negara jiran berkenaan.

Anwar dan rombongan yang merangkumi Ahli Parlimen dan Exco Kerajaan Negeri Selangor mengadakan dialog dengan rakan-rakan sejawatan mereka dari Parlimen Indonesia.

Perjumpaan ini memberi tumpuan kepada usaha-usaha yang boleh diambil untuk menjernihkan hubungan Malaysia dan Indonesia, baik di peringkat kerajaan mahupun hubungan sesama rakyat.

Anwar turut mengupas tentang fungsi media dalam menjana persefahaman yang lebih baik, sekali gus membantu mengukuhkan hubungan antara Malaysia dan Indonesia.

"Hubungan antara dua negara ini penting, jadi jangan diserah pada pimpinan negara. Ia harus melibatkan badan-badan dan organinasi Islam dan Parlimen.

Jadi kami rasa Ahli Parlimen juga kena ambil langkah-langkah untuk mengeratkan hubungan. Kalau kita serah pada pemimpin saja, ia sulit juga sebab kedua-dua negara ini punya sistem yang sangat berbeza," kata Ahli Parlimen Permatang Pauh itu.

Anwar berkata tidak boleh dinafikan bahawa, pemerintah yang ada di malaysia ini pun harus ada peranan penting ke arah memulihkan keadaan antara dua negara ini.

Pada sidang media ini, Anwar sekali lagi menjadi sasaran Utusan Malaysia milik Umno. Wakilnya menuduh Anwar meninggalkan sidang Parlimen di Malaysia semata-mata untuk berjumpa dengan Ahli Parlimen Indonesia.

Sebelum menjawab soalan daripada wartawan utusan itu, Anwar memberikan sedikit latar belakang mengenai Utusan Malaysia kepada Ahli Parlimen Indonesia.

"Utusan Malaysia ini milik Umno dan kerja mereka menyerang dan tidak pernah bagi ruang. Kehadirian saya tidak disenangi dan dikatakan tidak setia kepada negara," terangnya.

Dan ini jawapan Anwar kepada wakil Utusan di Jakarta

"Semalam soalan saya adalah yang kedua di Parlimen. Lepas itu saya ada urusan. Perdana Menteri dan Menteri- Menteri pun tidak ada di Parlimen semalam.

Tapi itu tidak akan dilapor. (Ini kerana) media Malaysia dikawal oleh Umno."

Anwar berkata beliau berada di Jakarta untuk menyakinkan rakan-rakannya di Parlimen Indonesia bahawa umumnya hubungan antara rakyat kedua-dua negara itu adalah baik.


"Kami juga bertanggungjawab kerana hubungan Malaysia-Indonesia ini tegang. Rakyat mahu jawapan. Tanggungjawab saya ialah mencari jalan memberikan saranan kepada rakan-rakan dan untuk menyakinkan mereka bahawa tidak ada unsur-unsur penghinaan, perkauman kecuali dari seorang dua yang jahil dan angkuh."

Anwar berkata dalam keghairahan menyerang beliau, Utusan Malaysia lupa keperluan untuk menonjolkan Indonesia sebagai contoh bagaimana reformasi memanfaatkan rakyat.

"Oleh kerana Utusan Malaysia ada disini, saya nak nasihatkan bahawa di Indonesia ini tidak semuanya korupsi dan reformasi semuanya huru hara seperti dilapor Utusan. Indonesia mencatat pertumbuhan ekonomi jauh lebih baik dari Malaysia. Kalaulah setiap perubahan kearah kebaikan ini dilapor media, rakyat malaysia akan tahu kebaikan daripada reformasi. "

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.