Followers

Monday, May 24, 2010

Penyokong PKR Bandar Baharu puji Soo Nee


BANDAR BAHARU- Penyokong Parti Keadilan Rakyat (PKR) Bandar Baharu menyokong tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kulim yang juga Pemangku Ketua Cabang kawasan itu, Lim Soo Nee kerana mendedahkan permasalahan sebenar yang berlaku dalam kerajaan Pakatan Rakyat (PR) ketika memberi ucapan Markas Pas di Kota Sarang Semut malam kelmarin.

Seorang ahli PKR berkata, kerajaan negeri Kedah yang diterajui Pas tidak seharusnya mendabik dada dan beranggapan PKR tidak ubah seperti melukut di tepi gantang.

Dia tidak menafikan kemenangan PKR hanya menyumbang kepada 20 peratus kepada penubuhan kerajaan PR di Kedah tetapi tanpa adanya sokongan itu, Pas tidak akan menerajui kerajaan Kedah hari ini.

“Kami penyokong PKR di Bandar Baharu kagum dengan semua ADUN PKR yang ada di Kedah. Apa yang berlaku malam kelmarin jelas menunjukkan setiap parti dalam PR harus bekerjasama dan jangan sesekali bersikap berat sebelah terutama tentang pembahagian peruntukan kepada ADUN PKR.

Selama ini, PKR disisihkan tidak diberi perhatian dan ini mengakibatkan kebanyakan ADUN PKR berasa tidak puas hati. Sekarang PR harus ingat walaupun sumbangan PKR kepada PR Kedah hanya 20 peratus tetapi tanpa jumlah itu, Pas tidak mampu menubuhkan sebuah kerajaan di Kedah,” katanya.

Dia berharap, permasalahan dalaman yang berlaku dalam PR dapat diselesaikan dan menjadi iktibar kepada mana-mana pemimpin Kerajaan Negeri lain agar tidak memperlekehkan sokongan yang diberikan oleh mana-mana parti yang bergabung di masa akan datang.

“Agihkan peruntukan dan beri bantuan kepada semua ADUN dengan adil. Dengan cara itu semua rakyat dapat di bantu. Dalam satu parti politik, semua parti yang bergabung harus bekerjasama. Sekira ini tidak dapat dilaksanakan, tidak ada gunanya gabungan itu diwujudkan,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.