Cuba lihat deretan pemimpin Keadilan yang terdahulu seperti Ezam Mohd Nor, Lokman Noor Adam, Ruslan Kassim dan termasuk jugalah Fairus Khairuddin, Zahrain Hashim, Salehuddin Hashim serta ramai lagi. Mereka semua ini akhirnya bertindak menjadi "petualang rakyat" setelah sekian lama berjuang.
Tindakan yang dilakukan oleh mereka semua ini tidak lain tidak bukan kerana kecewa dengan sesuatu, tertawan dengan imbuhan atau pun tidak percaya dengan kenyataan bahawa suatu hari nanti kerajaan yang ada akan bertukar tangan. Akibat tidak dapat menunggu terlalu lama, sedangkan dalam masa yang sama "kantung mahu di isi". Maka langkah terbaik ialah kembali kepada parti yang pernah mereka sertai dulu.
Dalam ramai-ramai pemimpin terbabit, hanya dua yang dilihat bernasib baik dan boleh dipercayai oleh UMNO iaitu Lokman Noor Adam dan Salehuddin Hashim. Kedua-dua mereka kini seolah-olah dipertanggungjawabkan dengan tugas yang berbeza. Lokman yang kini seronok bergelar Exco Pemuda UMNO, iaitu satu jawatan yang pernah disandangnya sebelum era reformasi dulu telah dipergunakan sepenuhnya oleh UMNO BN untuk mengadakan roadshow dan ceramah di seluruh negara.
Dengan bayaran sekitar RM2,000 sahaja bagi satu ceramah, maka Lokman mengusung temannya Ruslan Kassim untuk menjadi "juara rakyat" dengan membongkarkan segala rahsia dan "pekong mereka" sewaktu berjuang dalam Parti Keadilan itu dulu. Kini mereka digunakan lagi di Hulu Selangor dalam usaha untuk meyakinkan rakyat bahawa tindakan keluar parti mereka itu adalah yang terbaik. Mereka terpaksa menipu dan memesongkan fakta demi meyakinkan rakyat kononnya perjuangan mereka itulah yang sebenar-benarnya dan bukannya Anwar Ibrahim.
Manakala itu bagi Salehuddin Hashim pula, memang beliau nampak ada ketokohan untuk menjadi "raja petualang rakyat". Sejak meninggalkan PKR atas alasan untuk menumpukan perhatian kepada perniagaannya, kini bekas Setiausaha Agung PKR itu nampaknya semakin popular dengan "broker lompat parti".Beliau seolah-olah menjadi harapan baru buat UMNO BN untuk menjadi landasan dan jambatan bagi membawa seberapa ramai pemimpin PKR kembali kepada UMNO semula. Itulah kerja-kerja yang dilakukan oleh Salehuddin "mangkuk berayun" ini. Persoalannya sekarang, apakah memadai dengan hanya melihat apa yang dilakukan oleh beliau itu. Salehuddin dilihat antara bekas pemimpin PKR yang paling berjaya selepas meninggalkan parti itu.
Beliau bukan sahaja mempunyai berbagai rahsia besar PKR, malah juga rahsia peribadi Anwar dan pemimpin yang lain. Sebagai bekas Setiausaha Agung, makanya kepercayaan yang besar diberikan oleh PM Najib Razak kepada beliau sekarang ini. Justeru itu kita tidak hairan beliau akan muncul dalam mana-mana sidang media yang diadakan oleh wakil rakyat atau pemimpin PKR yang "lompat parti". Maka itu, kita tidak perlu hairan dengan lompatnya bekas pemimpin PKR Hulu Selangor, Dr.Halili Rahmat (foto) ke dalam UMNO semalam.
Apa sahaja kenyataan media yang dibuat oleh Dr.Halili sebenarnya telah disediakan oleh Salehuddin. Malah, kita juga tidak hairan dengan tindakan beliau untuk ke Australia dalam masa terdekat ini, kerana itulah janji-janji yang diberikan oleh UMNO kepada mana-mana pemimpin lompat parti sebenarnya. Itu belum termasuk lagi berapakah ganjaran yang diterima atas tindakan "bacul dan pengecut" mereka itu. Apapun, syabas dan tahniah kepada Salehuddin Hashim atas segala kerja profesional beliau ini!.
[Apa yang pasti, tugas Salehuddin tidak akan berakhir begitu sahaja. Itulah janji beliau tatkala meninggalkan PKR awal tahun lalu. Ternyata orang yang diharapkan Anwar kini menjadi petualang untuk menikam kembali beliau dari belakang. Mereka semua ini rupanya memang pandai berpolitik sejak dulu, kini dan selamanya.
Apakah kita wajar percaya kepada pemimpin yang datang dari lubuk UMNO untuk menjadi pemimpin dalam PKR lagi pada masa yang akan datang?. Kenapa mereka harus jadi begini dan apakah selepas ini nanti ramai lagi yang akan mengikut jejak langkah petualang rakyat ini.
Dalam pada itu, kita amat yakin kudrat mereka akan digunakan sepenuhnya oleh UMNO BN dalam kempen Pilihanraya Kecil Hulu Selangor ini. Semoga kemenangan jua akan dapat dicapai oleh Pakatan Rakyat hendaknya. Semua petugas perlu terus berjuang demi masa depan rakyat dan negara tercinta ini secara keseluruhannya].
sumber : pahangdailyonline

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.