Monday, January 25, 2010

Polis naik pentas hentikan ceramah YB DS Anwar Ibrahim ???





Siri ceramah Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim
di Kampung Kerinci malam tadi kecoh ekoran polis
bertindak menaiki pentas untuk memberhentikan ceramah tersebut.


Polis yang diketuai oleh Ketua Polis Daerah
Brickfields ACP Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid
bersama-sama beberapa anggotanya bertindak
menaiki pentas ceramah itu di Blok L Flat PKNS Kampung
Kerinci meminta ketua pembangkang itu berhenti
menyampaikan ceramah.



Kejadian itu berlaku kira-kira jam 11.35 malam,
selepas setengah jam Anwar yang juga ahli
Parlimen Permatang Pauh memulakan ceramahnya.


Kejadian tersebut disaksikan kira-kira 500 hadirin yang
hadir di situ sejak jam 8.30 malam.


Ketika itu Anwar sedang mengulas mengenai
pertuduhan liwat terhadapnya serta usaha beliau mendedahkan isu-isu antaranya seperti pembelian kapal selam, kematian
Teoh Beng Hock dan kehilangan enjin Jet.


"Sebab itulah tema ceramah saya bulan ini adalah
Selamatkan Malaysia'," katanya.


Tiba-tiba beliau terdengar teriakan daripada hadirin
"Polis datang", lantas Anwar yang menyedari kehadiran polis berkata:
"Tak apa, tak apa serahkan saya."


Selepas itu kelihatan Wan Abdul Bari bersama
beberapa anggotanya menaiki pentas meminta Anwar menghentikan ceramahnya menyebabkan para penyokong dan pengawal peribadinya mengerumumi beliau.


Kedengaran juga teriakan daripada hadirin dan
penyokong membantah tindakan polis itu.


Keadaan menjadi lebih tegang apabila Anwar cuba untuk
mengakhiri ceramah dengan bacaan doa tetapi
tidak dibenarkan oleh polis.


Selepas itu kelihatan Anwar bertegang urat Wan Abdul Bari.
Namun tidak dapat dipastikan apa yang
diperselisihkan pada waktu tersebut.


Kekecohan itu berlaku selama 10 minit di atas pentas tersebut.


Ekoran itu, majlis tersebut terpaksa dihentikan
dan para penyokongnya membawa ketua pembangkang
itu ke dalam sebuah rumah yang terletak
bersebelahan dengan pentas tersebut.


Kemudiannya para penyokong Pakatan Rakyat
pula berteriak dengan menyuruh pihak polis yang masih berada di pentas supaya beredar dari situ.


Pihak urusetia juga bertindak menutup lampu dipentas
tersebut, menyebabkan para penyokong bersorak
dan melaungkan 'Reformasi' kepada beberapa kali
kepada anggota polis yang masih berada di atas pentas.


Sementara itu Wan Abdul Bari ketika ditemui
pemberita selepas kejadian tersebut berkata pihaknya terpaksa memberhentikan ceramah tersebut kerana
"ucapannya tidak selaras dengan program mesra rakyat".


"Ia adalah program perjumpaan dengan rakyat.
Pada peringkat awalnya, okay, tetapi bila
beliau (Anwar) hadir, ucapan-ucapannya lebih
berunsurkan politik yang tidak selaras dengan
program mesra rakyat, jadi kita terpaksa
memberhentikannya," katanya.


Sementara itu ahli Parlimen Pokok Sena
Datuk Mahfuz Omar yang turut berceramah
ditemui pemberita mengecam tindakan polis naik ke atas pentas.


Mahfuz yang juga naib presiden PAS berkata tindakan
polis itu pentas adalah "tidak wajar".


Ini kerana katanya tindakan itu
"tidak menampakkan profesionalisme" dan
"mengundang keadaan yang lebih kecoh".


Bagaimanapun beliau tidak mengetahui apa yang
diperselisihkan oleh Anwar dan Wan Abdul Bari
kerana pada waktu itu beliau berada jauh dari
pentas sewaktu dikerumuni oleh para
penyokong bekas timbalan perdana menteri itu.


Manakala ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah
Anwar turut mengecam polis tindakan polis tersebut.


Nurul Izzah yang juga anak sulung ketua
pembangkang itu berkata polis harus menunjukkan
profesionalisme mereka, lebih-lebih lagi di hadapan khalayak ramai.


Beliau juga menjelaskan pihak urusetia juga memohon permit untuk mengadakan ceramah tersebut tetapi tidak diberikan.

Beliau juga berkata urusetia turut memohon
dewan berdekatan dengan flat tersebut tetapi
tidak dibenarkan untuk menggunakannya.


Sebelum itu, sepanjang pemerhatian Malaysiakini,
terdapat dua sekatan polis diadakan sebelum majlis ceramah itu bermula.


Sekatan yang pertama dari arah Universiti Malaya (UM)
menuju ke tempat ceramah tersebut iaitu betul-betul
di hadapan Pangsapuri Vista Angkasa,


Sekatan itu dibuat kira-kira 50 meter dari tempat
ceramah itu diadakan, manakala satu lagi sekatan
dibuat dari arah Pantai Dalam, kira-kira 400 meter
dari tempat ceramah itu diadakan.


Lebih 30 anggota polis termasuk Unit
Simpanan Persekutuan (FRU) kelihatan di tempat ceramah tersebut.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.