Followers

Saturday, January 23, 2010

Akhirnya YBKhalid Samad dipanggil Tengku Idris Shah

Sinar Harian hari ini melaporkan Sultan Selangor, Tengku Idris Shah Tengku Abdul Aziz Shah memanggil Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad berjumpa beliau. Selepas perjumpaan itu nanti, tentulah ramai wartawan yang nak tahu apa yang Tengku Idris Shah cakap kepada Khalid. Saya pun nak tau.

Saya juga mendengar khabar bahawa Khalid memang telah lama meminta untuk berjumpa Tengku Idris Shah. Khabarnya sebelum hari jadi Tengku Idris Shah baru-baru ini. Akhirnya berpeluang juga beliau berjumpa Tengku Idris Shah.


Apa pun, saya bersetuju sangat penjelasan Khalid bahawa tujuan beliau ialah untuk menghalang golongan yang berkepentingan daripada menggunakan institusi di bawah Sultan Selangor untuk tujuan politik mereka.


"Malah, usaha untuk mengheret institusi di bawah naungan Sultan Selangor, dilakukan oleh golongan ini, bukan saya," katanya.


Kepada ramai yang tak nampak, tolong perhatikan bahawa sekurang-kurangnya di Perak di bawah kerajaan Pakatan Rakyat (PR) dahulu dan di Selangor kini, walaupun tak ada kerajaan yang diketuai Umno, sekurang-kurangnya ada pihak berkuasa agama yang dikuasai Umno, tidak kisah kalau orang Umno yang membawa kad keahlian PAS sekalipun.


Di Kelantan saya tak berapa tahu. Tetapi jentera pentadbiran negeri itu berada di bawah Suruhanjaya Perkhidmatan Negeri Kelantan (SPN) dikuasai oleh Umno. Pemimpin-pemimpin kerajaan Kelantan pula boleh diluku-luku oleh Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK).
Di Pulau Pinang, saya tak berapa kenal Ustaz Elias Zakaria. Saya hanya mengetahui sedikit sebanyak tentang beliau dari anak-anak murid Ustaz Dr Daeng Sanusi Mariok yang dikasihi.

Di Kedah apa nak kira, "PAS, Umno macam adik, abang…" Bak kata kawan yang banyak berjasa kepada saya, Zulkifli Yahya, takkan seluruh ruang kehidupan mahu dipenuhi dengan episod perkelahian yang tidak berkesudahan, sehingga tersekat kerja dakwah.


Saya yakin, dakwah di Kedah hebat sakan la ni. Kedah juga paling hebat dalam melaksanakan matlamat-matlamat (maqsud) yang ingin dicapai oleh syariat demi kepentingan umat manusia.


Berkaitan:
Khalid Samad mengadap Sultan Selangor (Malaysiakini 22/1/10) Khalid Samad buat hal lagi (Utusan Malaysia 22/1/10) Khalid Samad dipanggil menghadap Sultan.

Sinar Harian (22/1/10): Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad akan menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di Istana Alam Shah, pagi ini.


Setiausaha Sulit kepada Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani ketika dihubungi mengesahkan Pesuruhjaya Pas Shah Alam itu dipanggil menghadap Sultan Selangor pada jam 11.30 pagi.


Ketika ditanya adakah kontroversi antara Khalid dan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) berkaitan penggunaan kalimah Allah oleh agama lain menjadi punca beliau dipanggil menghadap Sultan Selangor, Mohamad Munir enggan mengulas lanjut.

Sementara itu, Khalid ketika dihubungi juga tidak mahu memberikan sebarang komen mengenai perkara tersebut.


“Saya tidak mahu mengulas lanjut perkara ini dan jika hendak mengetahui dengan lebih lagi, tanya sendiri dengan pihak istana,” katanya kepada Sinar Harian.


Sebelum ini, Abdul Khalid dilaporkan menyokong keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan akhbar mingguan Herald-The Catholic Weekly menggunakan kalimah Allah dalam penerbitannya.


Malah, beliau turut mempertikaikan keputusan Mais berhubung isu penggunaan kalimah Allah.


Ekoran itu, Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) memberi amaran keras kepada beliau agar berhenti daripada mempertikai keputusan Mais kerana keputusan itu adalah titah Sultan Selangor dan rakyat negeri itu perlu menghormati serta mematuhi keputusan berkenaan.


Jais juga menolak dakwaan wakil rakyat itu bahawa pihaknya dan Mais sengaja ‘mempolitikkan’ isu berkenaan.


Sehubungan itu, Pengarah Jais, Datuk Mohamed Khusrin Munawi berkata, Khalid perlu mengkaji semula kenyataan tersebut kerana ia mempunyai kaitan dengan sensitiviti umat Islam khususnya di Selangor.


Namun Khalid enggan mematuhi larangan berkenaan malah menyarankan Jais dan Mais menyertai atau menubuhkan parti politik.

Khalid mendakwa kedua-dua pihak berkenaan gagal mengawal tindak-tanduk orang ramai yang menyertai demonstrasi isu penggunaan kalimah Allah di Masjid Shah Alam.

Katanya, beliau akan terus melahirkan pandangannya selagi tidak memperolehi respons yang berasas daripada agensi itu khususnya berhubung isu kalimah Allah.


Kontroversi antara Khalid dan Mais tidak dapat disembunyikan lagi apabila Khalid turut meminta kepimpinan institusi agama itu dirombak, selaras dengan pentadbiran Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) agar isu-isu semasa menyentuh umat Islam di negeri itu dapat ditangani dengan harmoni.


Jais, Mais perlu dirombak: Khalid

Sinar Harian (Sel & WP 22/1/10): Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad meminta supaya kepimpinan yang menerajui Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) dirombak semula agar ia selari dengan perubahan pentadbiran yang berlaku di negeri ini.


Menurut Khalid, pentadbiran agensi itu perlu ditukar dengan mereka yang berpengetahuan agama serta bebas dari kefahaman politik selain politik Islam.


“Saya berkeyakinan bahawa masanya telah tiba untuk ulama-ulama yang selama ini dipinggirkan oleh pentadbiran lama (UMNO) atas sebab kepentingan politik mereka, diberi peluang dan kedudukan yang sewajarnya di dalam institusi keagamaan di Selangor.


“Kita kena ingat keadaan sudah berubah dan rakyat hendak lihat perubahan itu. Sepatutnya Jais, Mais perlu juga berubah dan perlu ditukar selari dengan perubahan pentadbiran di Selangor,” katanya ketika sidang media di pejabatnya di sini semalam.


Katanya, ramai ulama yang berpengalaman seperti Daeng Sanusi Daeng Mariok, Datuk Ismail Kamus dan Datuk Haron Din, boleh diberi peluang untuk menerajui pentadbiran baru.


“Hanya orang-orang yang mempunyai pengetahuan agama (ulama) kerana apabila timbul isu-isu seperti ini (kalimah Allah), mereka mampu beri jawapan yang sebaiknya,” katanya.


Khalid yang juga Yang Dipertua Pas Shah Alam juga turut meminta pihak berkenaan supaya Enakmen Agama Bukan Islam 1998 itu dikaji semula dan menyifatkannya (enakmen) sudah ketinggalan zaman.

“Bagi pandangan saya, ya (ketinggalan zaman). Ia (enakmen) merupakan undang-undang pentadbiran keagamaan dan bukanlah hukum yang bersifat ‘Qatii’ yang tidak boleh berubah.


“Ia bercanggah dengan dakwah Islam dan tiada sebab enakmen-enakmen tersebut tidak boleh dikaji semula dan diubahsuai,” katanya.


Bagaimanapun katanya, ia haruslah dibuka kepada perbincangan terlebih dahulu sebelum diambil sebarang tindakan selanjutnya.


Sementara itu, beliau turut menafikan bahawa beliau tidak menghormati Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dengan mengheret institusi di bawah naungan baginda ke kancah politik.

“Saya ingin menafikan tuduhan tersebut, dengan sekeras-kerasnya. Pada hakikatnya ucapan saya bertujuan untuk menghalang golongan yang berkepentingan daripada menggunakan institusi di bawah naungan DYMM Sultan Selangor untuk tujuan politik mereka.


“Peringatan dan teguran saya bertujuan untuk menghalang nama baik baginda Sultan dari tercemar atas perbuatan yang tidak bertanggungjawab ini.

“Malah, usaha untuk mengheret institusi di bawah naungan Sultan Selangor, dilakukan oleh golongan ini, bukan saya,” katanya.


Khalid berkata demikian ketika mengulas laporan polis yang dibuat terhadapnya pada 18 Januari lalu oleh 16 NGO di Shah Alam yang menuduhnya tidak menghormati Sultan Selangor sebagai pemerintah dan sultan di negeri.

sumber: empayarperak

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.