Tuesday, January 26, 2010

(7) Fokus Khas Isu - menghitung hari !

(7) Fokus Khas Isu - menghitung hari !

Oleh : Tulang bukan besi
Inilah yang kerap ditulis orang, lebih-lebih lagi dalam media elektronik berbahasa Inggeris seperti Malaysia-Todaynya/RPK dan Malaysiakini versi Inggerisnya. Pagi ini (8.00 pagi, 24 Januari 2010), misalnya kita melihat ada soalan menarik:

Pertama: Citra Zulkifli Nordin yang sangat jaguh Islamnya.

Buat apa dan kenapakah PKR, khususnya DSAI masih mahu menyimpan Zulkifli Nordin yang secara keseluruhannya dilihat begitu sangat tidak serasi dengan aspirasi dan perjuangan Pakatan Rakyat? Rata-rata para pembaca di media elektronik itu mahu supaya ‘disembelihpolitikkan’ saja YB yang satu ini.

Ada banyak sebabnya. Mutakhir serangan terbukanya terhadap Khalid Samad. Namun yang paling khusus ialah berhubung pendiriannya yang selama-lamanya berapi-api dalam segala hal berkaitan dengan Islam. Begitu besar ‘kecintaannya terhadap Islam’, ramai yang beranggapan bahawa inilah dia seorang hero Islam sejati. Luar biasa. Apa pula kata para pembaca yang geram dan menyampah. Ramai yang berpendapat bahawa segala tingkah YB Kulim/Bandar Bharu bukanlah tidak bersebab.

Paling utama, katanya orang ini mahu sentiasa dilihat paling ke depan, lebih-lebih lagi jika ada saja isu-isu yang berkaitan dengan Islam. Sebabnya mudah, segala isu berkaitan Islam pastinya menarik perhatian umum yang luar biasa. Lalu ada juga pembaca yang menulis; dia terhutang biasiswa mengaji undang-undang di New Zealand. Makanya dia perlu menjaga Umno yang pernah menyekolahkannya.

Bagi kita itu isu kecil jika dibandingkan dengan saman musuh berhubung katanya isu pelanggarannya kerana tidak mengemukakan penyata kewangan sebagai calon pilihan raya. Dia beruntung kerana Umno pun tidak begitu gemar untuk berdepan dengan sebarang PRK. YB ini juga tidak mahu hilang kelayakannnya. Apakah yang terbaik? Menarilah mengikut gendang dan irama yang paling sesuai. Itulah telahan sesetengah orang. Pada pandangan kita, watak begini tak akan bertahan lama. Contoh teladan para katak telahpun kita lihat.

Mula-mula, mungkin ramai yang percaya, namun apabila kedok/topeng dibuka, wajah katak akan terserlah jua akhirnya. Bolehkan YB Pasir Mas misalnya bertahan selama-lamanya? Ya, paling lama sehingga tiba PRU 13. Apakah dia masih mahu dicalonkan?

Sekarang isu kedua: Apakah mesej yang mahu disampaikan oleh Lembaga Disiplin Pas nanti?

Kalau kita teliti komen yang dipaparkan oleh media, mesejnya sangat jelas. Semua mahukan Lembaga Disiplin Pas tidak tersalah dalam bertindak. Lembaga Disiplin Umno hancur lebur, tak bermakna kerana tingkahnya yang dilihat menjadi dan dijadikan alat kelompok tertentu dalam parti.

Pesan kita: Pas janganlah meniru gelagat Umno. SPERM, PDRM, SPR dicemuh dan hilang kredibilitinya kerana menjadikan dirinya alat Umno. Kita mahu melihat kebenaran, ketelusan, kesaksamaan dan kebijaksanaan Lembaga Disipilin Pas. Mohonlah, janganlah berikan isyarat yang songsang lagi mengelirukan kepada seluruh rakyat Malaysia. Ya, mereka sedang meneliti dengan penuh debaran.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.