KUANTAN, 18 Nov - Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pahang, kini semakin diterima oleh segenap lapisan rakyat di negeri ini. Berbagai agenda telah dilaksanakan oleh kepimpinan PKR negeri, dalam usaha untuk membawa perubahan baru menjelang Pilihanraya Umum ke-13 akan datang. Pahang yang diakui antara kubu kuat UMNO BN sejak zaman berzaman. Malah, gelombang "Refromasi 98" dan "Tsunami Politik" yang melanda negara sebelum ini, ternyata masih belum dapat menggugat kerajaan negeri Pahang sebenarnya. PKR Pahang kini mengorak langkah yang lebih bersepadu dalam usaha untuk memastikan kejayaan mengambil alih tampuk pemerintahan negeri ini dalam pilihanraya umum akan datang. Kepercayaan yang telah diberikan oleh Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk melantik Dato' Fauzi Abd Rahman (foto) sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Negeri Pahang hujung tahun lalu tampak membuahkan hasil. Biarpun pada awalnya, kepimpinan Dato' Fauzi menimbulkan kontroversi, diragui sertamendapat kritikan dari pelbagai pihak terutamanya ahli PKR sendiri. Namun, kini ramai yang berbangga dengan gerak kerja yang dilakukan oleh Bekas Timbalan Menteri itu. Malah, PKR dilihat semakin kuat dan utuh serta diterima oleh berbagai lapisan kaum di negeri ini. Kini kelibat Dato' Fauzi cukup disegani oleh kawan dan lawan. Malah, saban hari semakin ramai ahli UMNO yang bertindak keluar parti dan menyertai Pakatan Rakyat samada PKR, PAS atau pun DAP di Pahang. Senario ini bukan sahaja dapat dilihat di kawasan bandar, malahan juga di tanah rancangan Felda dan penempatan orang asal (asli) seluruh Pahang. Penubuhan ranting (cawangan) baru terus digiatkan serta mendapat sokongan padu rakyat pelbagai kaum.Ketika ditemui oleh krew kami baru-baru ini, Dato' Fauzi menegaskan bahawa kejayaan sebenarnya sudah semakin hampir dan Pakatan Rakyat sudah bersedia untuk melakukan kejutan dalam pilihanraya umum akan datang. Menurut beliau antara langkah yang diambil pada masa ini ialah terus memberi penerangan secara bersemuka dengan rakyat. Berbagai program dilaksanakan di seluruh negeri, bairpun ada sesetengahnya yang mendapat gangguan daripada pihak UMNO sendiri. "Kita terpaksa turun padang bertemu rakyat, setelah segala ruang yang ada dikawal oleh kerajaan. UMNO cuba mematikan amalan demokrasi dengan menganggu rakyat yang ingin mendapat penjelasan tentang isu-isu semasa. Mereka menyekat segala kemudahan, bersikap dengki dan sengaja menimbulkan provokasi murahan untuk menghalang rakyat mendapat maklumat yang lebih jelas dan tepat" kata Dato' Fauzi. "Tugas untuk memberi penerangan adalah penting, agar mereka dapat menerima perubahan bahawa pertukaran kerajaan sebenarnya lebih menguntungkan mereka dan bukannya membebankan seperti yang diwar-warkan. Pertukaran kerajaan senantiasa berlaku di negara maju seperti di Jepun, Britain malah negara kuasa besar seperti Amerika Syarikat sendiri. Bila ada dua parti yang kuat sebenarnya rakyat yang akan mendapat untung. Hanya kerajaan UMNO BN sahaja yang takut dengan perubahan kerajaan. Bagi mereka, hanya UMNO BN sahaja yang layak memerintah negara ini buat selamanya. Inilah yang wajar diyakinkan kepada rakyat, agar mereka bersedia untuk menerima perubahan" katanya.
sumber: pahangdailyonline
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.