Monday, December 14, 2015

Sultan Selangor akui ‘tak suka’ Mat Taib..



Sultan Selangor membidas beberapa perkara yang dilakukan Tan Sri Muhammad Muhd Taib semasa zaman pentadbirannya sebagai menteri besar Selangor dari 1986 hingga 1997, lapor Mingguan Malaysia.

Menurut edisi Ahad Utusan Malaysia itu, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkata, bekas menteri besar itu banyak menukar adat negeri, misalnya memberi darjah kebesaran dengan hanya kelulusan ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri (exco), tanpa melalui Dewan Diraja.

Menurut Sultan Selangor, penganugerahan darjah kebesaran semasa zaman pentadbiran Muhammad juga terlalu mudah dan dilakukan dengan sesuka hati.

.

"Sebab itu kadang-kadang istana kata darjah kebesaran semasa zaman Muhammad seperti buffet sahaja, letak atas meja terus ambil," katanya dalam wawancara bersama akhbar milik Umno itu.

Menurut Sultan Selangor, faktor kurangnya pingat darjah kebesaran membawa gelaran "Datuk" kini disebabkan prestasi pegawai kerajaan sekarang yang tidak memuaskan.

"Saya pun tengok pegawai-pegawai kerajaan tidak menunjukkan prestasi bagus, jadi saya tidak bagi banyak. Kita beri 17 gelaran Dato', satu Dato' Seri dan tiga Dato' Setia," katanya apabila ditanya sebab kurangnya jumlah darjah kebesaran tahun ini, sempena keputeraan baginda ke-70.

Baginda turut mengakui tidak menghormati Muhammad kerana didakwa mengaut kekayaan ketika aktif berpolitik dan sikapnya yang sering melompat parti.

"Terus terang, saya tidak hormat pada Muhammad Taib. Dia buat kekayaan ketika berada dalam Umno, kemudian masuk PAS.

"Kemudian apabila PAS kelam-kabut, dia keluar dan masuk PKR. Kalau dia masuk mana sekalipun, macam mana hendak hormat sebab dia banyak melompat," kata baginda dalam satu wawancara bersama akhbar Mingguan Malaysia.

Baginda mendedahkan ayahnya, Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pernah berselisih dengan Muhammad kerana bekas menteri besar Selangor itu berbohong.

Menurut baginda, kewujudan jawatan timbalan menteri besar semasa itu sebagai kesilapan terbesar Selangor dan selepas mengambil alih takhta, baginda memansuhkan jawatan itu.

“Saya tidak pernah argue (berbalah) dengan menteri besar. Hanya sekali sahaja ayahanda saya berbalah dengan Tan Sri Muhammad Muhd Taib, itu pun kerana beliau berbohong.

“Sebab beliaulah, kita wujudkan jawatan timbalan menteri besar dan itu adalah kesilapan terbesar negeri Selangor,” kata Sultan Sharafuddin.

"Semasa ambil alih (takhta) ayahanda, saya cakap dengan Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi) saya tidak mahu timbalan menteri besar. Beliau tanya kenapa?

"Timbalan menteri besar ini tidak lain kerjanya hendak menjatuhkan menteri besar. Jadi menteri besar takut apa akan datang dari belakang. Dia bukan menolong tapi menjatuhkan.

"Bukan bermakna timbalan menteri besar secara automatik akan jadi menteri besar. Jadi, ada cita-cita lain. Jadi, lebih baik tidak ada. Pak Lah setuju dan sejak itu tidak ada lagi timbalan menteri besar," kata Sultan Selangor seperti dilaporkan Mingguan Malaysia.

- tmi

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.