Friday, December 18, 2015

Pas tidak mahu kerjasama dengan UMNO seperti ‘perpaduan penyamun’ - Mohamad Fadli

amar

Kerjasama antara dua parti itu perlu mengutamakan Islam, bukan berasaskan politik 

KUALA LUMPUR: Pas menegaskan parti Islam itu tidak mahu melihat kerjasama yang sedang diusahakan dengan UMNO diibaratkan seperti ‘perpaduan penyamun’.

Naib Presidennya, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata kerjasama sebegitu tidak akan kekal lama dan akhirnya akan kembali berbalah.

Katanya, sebarang kerjasama antara dua parti itu perlu meletakkan Islam sebagai kepentingan utama.

“Kedua-dua parti perlu ikhlas bila bercakap tentang perpaduan. Kena letak kepentingan Islam mengatasi segalanya dan bukan asas pollitik.

“Kalau ingin bekerjasama kerana politik, perpaduan itu tidak akan ke mana. Ia mungkin menjadikan dua parti itu bersatu seketika namun selepas itu bergaduh balik. Akhirnya jadi perpaduan penyamun,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Forum Perpaduan Ummah Merentasi Ideologi sempena Multaqa Serantau Alumni Al-Azhar Malaysia 2015 pada Khamis.

Turut menyertai forum itu Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki dan Ketua Pegawai Eksekutif Global Moderate Movement, Nasharuddin Mat Isa.

Meneruskan hujahnya, Mohd Amar yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan berkata, Pas sentiasa terbuka membincangkan soal agama dan ummah.

Katanya, sejarah pernah tercatat 17 tahun lalu apabila presiden kedua-dua parti duduk di atas satu pentas bercakap dalam nada yang sama tentang Palestin.

Kini, sejarah itu berulang kembali apabila kedua-dua presiden UMNO dan Pas duduk di atas pentas yang sama.

“Cuma usaha kerjasama ini tidak di salah anggap dan tidak ada mana-mana pihak yang akan mengambil kesempatan.

“Cuma Pas tidak setuju gabung jadi parti tetapi boleh kerjasama dan pada masa sama masih boleh bergaduh,” katanya.


FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.